Kapal selam China singgah di Malaysia adalah ‘perkara biasa’ tegas Prof Azmi

KUALA LUMPUR: Kehadiran kapal selam China ke Malaysia minggu lalu bukan sesuatu yang luar biasa, kata seorang pakar geostrategik, yang melihat ia tidak berbeza daripada kapal selam Amerika Syarikat yang pernah berlabuh sebelum ini.

Prof Azmi Hassan dari Institut Sains dan Teknologi Geospatial di Universiti Teknologi Malaysia, berkata kehadiran kapal perang atau kapal selam asing di perairan Malaysia adalah perkara lazim selain membuktikan kerjasama dan diplomasi di antara dua negara, ia ekoran persefahaman ketenteraan antara Kuala Lumpur dan Beijing dua tahun lepas.

“Kapal selam Amerika Syarikat umpamanya sering singgah di Pelabuhan Klang. Yang penting, kehadiran kapal selam asing mengikut perundangan pertahanan Malaysia,” katanya kepada portal FMT.

Ketibaan dua buah kapal selam tempur milik China di Kota Kinabalu pada 5 Januari dikaitkan dengan peluasan kuasa China di rantau ini, di sebalik ketegangan di Laut China Selatan melibatkan tuntutan ke atas kepulauan Spratly.

Menurut Tentera Laut Diraja Malaysia, lawatan kapal selam CNS Chang Xing Dao dan CNS Chang Cheng itu merupakan “lawatan diplomasi” tentera China, yang berehat di Sabah selepas melakukan pemantauan lanun di perairan Somalia.

Namun, ia dipersoalkan pihak berkuasa India yang dipetik sebuah badan penyiaran New Delhi sebagai mempersoalkan alasan kapal selam itu berlabuh bagi “berehat dan mendapat bekalan”.

Menurutnya, aset ketenteraan yang canggih seperti kapal selam bukan sesuatu yang sesuai digunakan bagi melawan lanun Somalia, yang biasanya hanya melibatkan “pertempuran kecil”.

Akhbar Cina, Global Times, media rasmi Beijing, menyifatkan persinggahan kapal selam itu simbol kepercayaan politik China-Malaysia “mencapai tahap tinggi yang baru”.

“Susulan lawatan ini, kemungkinan kapal selam China akan terus berlabuh di Malaysia dan seterusnya menambahkan lagi kerjasama ketenteraan dua hala,” lapor akhbar itu.

Azmi berkata, isu itu menunjukkan Malaysia mengamalkan dasar luar yang tidak berat sebelah kepada kuasa besar tertentu.

“Pada 2015, buat kali pertama latihan ketenteraan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dijalankan di Selat Melaka,” katanya.

Sebelum ini, dua kapal perang tentera laut Jepun iaitu JS Makinami (DD-112) dan JS Suzunami (DD-114) tiba di Pelabuhan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar.

Begitu juga dengan kemunculan kapal selam tentera Australia, HMAS Sheean, yang berlabuh di Pulau Pinang pada 28 September 2015, sebelum meneruskan pelayaran ke Kota Kinabalu, Sabah dan menjalani latihan dengan kapal selam Malaysia, KD Tuanku Abdul Rahman (KD TAR).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *