MP Shah Alam mahu polis ambil tindakan segera terhadap 11 penyerang beliau

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendesak agar siasatan terhadap serangan keatas dirinya pada 24 November tahun lalu di perkarangan bangunan Parlimen dipercepatkan.

Khalid Samad bersama peguamnya Zulhazmi Sharif pada sidang media di Wisma AMANAH Nasional pagi tadi, 16 Januari 2017

Dalam sidang media bersama dengan peguamnya, Zulhazmi Sharif di Wisma AMANAH Nasional, dekat sini pagi tadi, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional mempersoalkan kenapa kes beliau itu, terlalu lambat diselesaikan sedangkan semua pihak sudah diambil keterangan, seperti dilapor Malaysia Dateline hari ini.

Dalam kejadian pada 24 November tahun lalu, Khalid cuba diserbu sekumpulan orang mendakwa dari Pasir Salak, Perak, ekoran pertikaman lidah membabitkan perkataan “sial” antara Khalid dengan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Salak.

Polis kemudian menahan 11 suspek, termasuk tiga wanita untuk membantu siasatan. Seorang daripada mereka ialah anak Tajuddin sendiri.

Namun, peguam Zulhazmi Sharif ketika itu memberi reaksi, mengapa polis menyiasat penyerang Khalid atas kesalahan merusuh kerana mereka bukan saja berhimpun, malah menyerang anggota parlimen serta mencederakan petugas keselamatan.

“Saya tak faham kenapa polis tak siasat mengikut Seksyen 124. Ia kesalahan yang serius dan tak boleh diletakkan dibawah Seksyen 147,” katanya.

Menurut Zulhazmi Seksyen 124 Kanun Keseksaan ialah kesalahan keganasan yang boleh disiasat menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

“Kita tidak setuju dengan pelaksanaan Sosma tetapi tindakan mereka ke atas Khalid adalah kesalahan yang serius, sebab itu ia perlu diletakkan di bawah kesalahan keselamatan,” kata beliau.

Namun sehingga hari ini, kes berkenaan belum diselesaikan dan tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas 11 penyerang Khalid.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *