KM Sarawak yang baharu ‘bunuh diri’ jika sokong RUU 355 tajaan Pas, kata penganalisis

KUCHING: Ia akan menjadi tindakan “bunuh diri” bagi karier politik Ketua Menteri Sarawak yang baharu, jika bertindak menyokong pindaan syariah yang sangat kontroversi sekarang di Parlimen.

Ini adalah gambaran diberi penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak, Jeniri Amir susulan kenyataan PAS Sarawak yang Datuk Abang Johari Openg boleh membalikkan pendirian bekas bosnya.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini mengarahkan semua ahli Parlimen BN negeri mengundi menentang pindaan syariah tersebut.

Pas Sarawak memberitahu portal FMT semalam, Abang Johari mungkin tidak mengikat mana-mana ahli Parlimen BN Sarawak untuk mengundi menentang cadangan pindaan akta syariah.

Hujah mereka, ketua menteri baru “lebih prihatin” terhadap isu Islam.

“Untuk membuat pusingan U daripada pendirian Adenan adalah ‘political suicide’,” tegas Jeniri kepada portal FMT hari ini, ketika dihubungi.

Beliau menambah ia tidak mungkin pula berlaku pusingan U kerana Abang Johari memahami sepenuhnya sentimen rakyat.

“Saya yakin beliau akan mematuhi apa sahaja keputusan yang dibuat Adenan kerana mereka berada dalam politik selama lebih 39 tahun.

“Abang Johari juga teman rapat Adenan dan memahami aspirasi beliau.”

Jeniri berkata adalah penting untuk Abang Johari membuktikan dirinya pada minggu awal pelantikannya, sambil menambah “rakyat juga akan menilai Abang Johari pada tahap mana beliau meneruskan legasi dan tugas Adenan yang belum selesai”.

“Beliau perlu dilihat sebagai seorang pemimpin yang tegas. Seseorang yang melakukan perkara selaras dengan aspirasi rakyat Sarawak.”

Pas memohon meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, bagi membolehkan hukuman lebih keras kepada pesalah syariah, satu langkah yang dilihat sebagai jalan membawa hudud ke Kelantan.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya Azman Awang Pawi berkata, rakyat Sarawak mungkin dapat menerima pindaan syariah yang dicadangkan jika terdapat penjelasan mencukupi mengenainya.

Azman berkata, pindaan syariah dicadangkan kerana undang-undang Islam tidak dikemaskini dan dinaik taraf untuk masa yang lama.

Ini adalah keterangan sama yang diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, katanya.

“Bagaimanapun, ini adalah ujian bagi Abang Johari. Sarawak mungkin dapat menerima penjelasan pindaan syariah bukan hudud.

“Tetapi, jika rakyat Sarawak masih tidak memahami pindaan dicadangkan, ia boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap BN Sarawak.”

Pada masa ini, hukuman syariah dihadkan kepada hukuman penjara 3 tahun dan denda RM5,000 serta 6 sebatan.

Cadangan pindaan Pas akan menyaksikan hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda sehingga RM100,000 dan 100 sebatan.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru rakyat keluar beramai-ramai untuk menyertai Himpunan 355 (H355) pada 18 Februari ini.

Berucap di hadapan kira-kira 100 orang pada jelajah pertama Pas untuk menyokong H355, Tuan Ibrahim berkata, beliau sudah mengarahkan parti membatalkan semua program pada hari terbabit bagi membolehkan ahlinya menyertai perhimpunan aman itu.

H355 menyasarkan kira-kira 300,000 orang berkumpul di Dataran Merdeka bagi menunjukkan sokongan kepada rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman lebih berat.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan Pas mengadakan H355 di Stadium Titiwangsa kerana kementeriannya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan membenarkan sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka.

Tuan Ibrahim sebaliknya berkata, Pas akan tetap cuba berunding dengan Tengku Adnan untuk membenarkan mereka berhimpun di Dataran Merdeka.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *