Bahagian Counter Terrorism Polis Bukit Aman sahkan tiga rakyat Malaysia sertai IS maut di Syria

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Mujahiddin Malaysia, Zainuri Kamarudin, 50, yang menyertai kumpulan militan di Syria, adalah antara 3 rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di negara bergolak itu, Jumaat lepas, lapor Bernama.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Berdasarkan maklumat risikan kami mengesahkan perkara berkenaan,” katanya.

Selain Zainuri atau bergelar Abu Talha yang berasal dari Bota Kiri, Parit, Perak, termasuk dua lagi yang maut adalah Sazrizal Mohd Sofian Thayalan, 27, dan Ahmad Asyraf Arbee Ahmad Jamal Arbee, 31. Mereka berlepas ke Syria pada April 2014, katanya.

Difahamkan, tiga rakyat Malaysia itu terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan tentera Syria di Raqqah.

Zainuri meninggalkan Malaysia pada April 2014 untuk menyertai IS di Syria dan terselamat daripada serangan hendap tentera Syria pada Ogos tahun sama dengan kecederaan di leher dan paha.

Dia mengetuai sayap IS yang bertutur dalam bahasa Melayu, Katibah Nusantara dan terlibat dalam aktiviti rekrut melalui Facebook.

Mingguan Malaysia hari ini memetik keluarga Zainuri sebagai berkata, mereka dimaklumkan mengenai kematiannya kira-kira jam 1 pagi semalam oleh seorang rakannya di Syria.

Ahli keluarga itu memberitahu akhbar berkenaan yang kali terakhir Zainuri menghubungi mereka kira-kira seminggu lalu.

“Dia beritahu kami, sudah tiba masanya untuk dia pergi.”

Menurut Ayob, turut terbunuh dalam serangan udara itu adalah Ahmad Asyraf Arbee Ahmad Jamal Arbee, 31, dan Sazrizal Mohd Sofian Thayalan, 27.

“Ketiga-tiga mereka antara 30 militan IS Malaysia yang terbunuh di Syria. Mereka juga antara 95 anggota IS yang dikenal pasti berasal dari Malaysia.”

Menurut laporan, Ahmad Asyraf yang berasal dari Kuala Lumpur, berlepas ke Syria untuk menyertai IS pada 2014, manakala Sazrizal pula berpindah ke Syria bersama isterinya tanpa pengetahuan keluarga.

Pasangan suami isteri itu bekerja di sebuah ladang di Australia sebelum berlepas ke Syria.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *