Sekolah agama Islam ancam perpaduan negara, AMANAH tolak dakwaan Gerakan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden AMANAH, Datuk Mujahid Yusof Rawa menolak dakwaan Gerakan dan berkata tidak adil mengatakan hanya sekolah agama Islam yang mengancam perpaduan kaum di negara ini.

Mujahid berkata, kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Dominic Lau yang khusus terhadap sekolah agama itu menunjukkan beliau berusaha keras untuk mengelak daripada menyalahkan sistem pendidikan negara secara keseluruhan.

Lau pada sidang media semalam berkata, sekolah agama menjadi ancaman sebenar kepada perpaduan, bukannya sekolah vernakular.

Dakwaan Lau itu berdasarkan rangka tindakan pendidikan kerajaan sendiri yang menyatakan sekolah agama yang dibiayai kerajaan terdiri sepenuhnya daripada pelajar Bumiputera.

“Sekurang-kurangnya di sekolah Cina kita mempunyai 12 peratus pelajar bukan Cina,” katanya.

Mujahid berkata, jika kekurangan interaksi antara kaum di sekolah menjadi masalah, maka sekolah kebangsaan yang dilihat menjadi sekolah untuk semua kaum, tidak akan menyebabkan perpecahan kaum.

“Sama ada ia sekolah agama, sekolah vernakular atau sekolah kebangsaan, masalah besarnya ialah pelajar terdedah kepada pihak yang ada agenda rasis menyebarkan kenyataan berunsur rasis,” katanya kepada portal FMT.

Beliau berkata, masalah perpaduan dalam kalangan pelajar berpunca daripada kegagalan kerajaan melaksanakan kemahuan politik untuk mengeluarkan kurikulum sekolah yang memastikan pelajar berbeza bangsa dan agama saling menghormati.

“Ini kekurangan dalam sistem pendidikan kita. Keadaan ini bertambah buruk dengan sindiran perkauman daripada ahli politik dan ketaksuban agama mereka.

“Kenapa Gerakan tidak melihat perkara itu? Kenapa sistem pendidikan hari ini tidak dikritik?” katanya.

Mujahid berkata, memang ada sesetengah sekolah agama bermasalah dalam memupuk rasa hormat kepada bangsa dan agama lain, tetapi keadaan itu bukan eksklusif berlaku di sekolah agama semata-mata.

“Ada sekolah Islamik yang doktrin pelajar berfikiran sempit, dan ini salah dalam Islam.

“Kurikulum sekolah agama sepatutnya dapat melahirkan pelajar yang patriotik, menghormati bangsa dan agama lain, menjadi lebih sebagai rakyat Malaysia, bukan Muslim saja.

“Tetapi tidak adil untuk fokus hanya kepada sekolah Islam, dan tanpa kajian lanjut, membuat kenyataan umum yang sekolah ini mengancam perpaduan.

“Dan hanya kerana sekolah Cina ada pelajar bukan Cina, ia tidak bermakna pelajar mereka mampu menempatkan diri dalam masyarakat majmuk kita,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *