Rakyat terus hidup derita, GST dianggar bakal “merompak” RM40 bilion bagi tahun 2017

BATU GAJAH: GST yang dikatakan tidak membeban rakyat kini dianggarkan bakal “merompak” kira-kira RM40 bilion duit mereka pada tahun 2017 ini, tegas Ahli Parlimen Bastu Gajah, V Sivakumar.

Katanya, hasil kutipan GST bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM27.012 bilion. Pada tahun 2016 kutipan GST adalah sebanyak RM38.5 bilion dan anggaran kutipan bagi tahun 2017 pula adalah RM40 bilion.

Beliau berkata, setiap tahun kutipan GST oleh Kerajaan Persekutuan pasti meningkat dan wang dari kocek rakyat disapu habis oleh kerajaan melalui cukai 6 peratus ini.

“GST telah menjadikan ekonomi kita bercelaru. Hari ini rakyat menderita kerana kenaikan harga barangan,” ujar beliau kepada Amanahdaily.

Kerajaan BN tegasnya, telah melakukan kesilapan besar dengan melaksanakan GST 6 peratus terhadap barang dan perkhidmatan yang dibeli oleh pengguna dan cukai ini boleh dianggap sebagai penyebab utama kenaikan harga barangan.

Katanya lagi, kerajaan telah memberi pelbagai alasan yang positif untuk membolehkan GST ini dilaksanakan, tetapi pada realitinya harga barang-barang telah naik secara mendadak.

Sivakumar berkata, Kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempedulikan rintihan rakyat dengan tekanan kenaikan harga barangan keperluan sebaliknya beliau dan kelurganya masih berbelanja mewah di dalam dan di luar negara.

“Rakyat harus tumbangkan kerajaan yang zalim ini melalui peti undi pada PRU14. Inilah satu-satunya cara untuk menyelamatkan rakyat dan negara ini.

“Kerajaan yang beri jaminan harga, tidak dapat mengawal keadaan sekarang. Najib gagal mengawal penularan inflasi sejak GST diperkenalkan pada 1 April 2015,” tegas beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *