Rafizi dakwa FGV bakal rugi RM7.8 bilion jika berlaku rancangan menyahsenaraikan syarikat itu

KUALA LUMPUR: Rancangan menyahsenaraikan Felda Global Ventures Berhad (FGV) akan memberi implikasi kerugian RM7.8 bilion, dakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Kata beliau, kerugian tersebut berpunca daripada bayaran pembelian semula saham dari pemegang saham semasa sebanyak RM2.9 bilion; RM2 bilion wang rakyat yang hilang ekoran kejatuhan harga saham FGV dan perbelanjaan FGV dalam bayaran balik pinjaman dan perbelanjaan lain.

“Jadi, Felda berada dalam keadaan penyah senaraian sebagai tidak baik, dan tidak menyah senaraikan juga tidak bagus,” kata Rafizi pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam seperti dilaporkan Malaysiakini.

Pengerusi Felda yang baru dilantik, Tan Sri Shahrir Samad berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan kemungkinan FGV dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia.

FGV disenaraikan di bursa tempatan pada tahun 2012 dengan tawaran awal awam (IPO) pada harga RM4.55 sesaham yang mendapat liputan meluas setelah dikatakan sebagai penyenaraian kedua terbesar dunia selepas Facebook. Antara pembeli saham utama FGV selain Felda ialah dana awam Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Harga saham FGV, bagaimanapun, berada dalam keadaan ‘terhoyong-hayang’ dalam tempoh beberapa tahun selepas itu sehinggalah berada di tahap RM1.79 sesaham setakat jam 3 petang hari ini (10 Januari 2017).

Mengulas lanjut, kata Rafizi, dalam usaha untuk meringankan masalah kewangan Felda, beliau menasihati Shahrir agar tidak mengambil gaji daripada jawatannya dalam firma itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *