FOMCA persoal Kerajaan Selangor tidak sedia alternatif kepada larangan guna beg plastik

Larangan penggunaan beg plastik yang bermula pada 1 Januari lalu di Selangor dilihat sebagai satu paksaan kepada pengguna di negeri ini, kata Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Malah menurut Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, kempen kesedaran yang kurang daripada Kerajaan Selangor menjadi punca rakyat gagal untuk mendapatkan maklumat awal mengenai langkah terbaru itu.

“Disebabkan oleh kerana kurangnya kempen kesedaran yang dibuat oleh kerajaan (negeri) menyebabkan rakyat beranggapan kempen ini adalah satu paksaan kepada mereka, walau bagaimanapun kalau kita lihat dari segi hakikatnya bukan semua kedai-kedai yang terlibat dengan kempen ini.

“Kemungkinan hanya melibatkan pasaraya besar sedangkan kedai-kedai lain masih lagi memberikan beg plastik,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos pada 9 Januari lalu.

Langkah pengharaman beg plastik dimulakan pada 1 Januari lepas di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Larangan itu termasuk penggunaan polisterin di semua premis makanan.

“Kita banyak mengadakan bentuk poster yang lebih kepada menyatakan hari tanpa plastik telah dilakukan tapi makluman kesedaran tentang alam sekitar itu masih kurang dilaksanakan sebab bila rakyat sedar bahawa kempen ini bertujuan untuk alam sekitar, maka mereka akan laksanakan secara sukarela.

“Dengan cara ini mereka akan membawa beg sendiri tidak memerlukan beg plastik dan mereka tidak akan beli beg plastik di pasar raya tapi beli beg kitar semula yang boleh digunakan semula,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar sebelum ini beranggapan larangan penggunaan beg plastik di Selangor adalah undang-undang yang menyusahkan rakyat.

Noh juga berkata keputusan Kerajaan Selangor yang mengharamkan penggunaan semua beg plastik tidak ada kaitan dengan kementeriannya mahupun Kerajaan Pusat.

“Kalau kita lihat dari jangka panjang dia tidak akan mencapai matlamat untuk mengurangkan beg plastik, kena ada satu perancangan yang berterusan dan kempen kesedaran sampai rakyat mempunyai kesedaran tentang manfaatnya.

“Kalau rakyat (Selangor) merasakan bahawa kempen ini seolah-oleh dilihat sebagai satu paksaan dan akan membebankan mereka tetapi kita ke arah negara maju, dari segi pemikiran juga perlu berdaya maju.

“Kalau negara lain tak guna beg plastik pun cuma bagaimana kerajaan mereka mendidik mereka sampai ke tahap itu kita kena pelajari,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Yusof turut mempersoalkan mengapa Kerajaan Selangor tidak menyediakan altenatif lain selain hanya mengharamkan penggunaan beg plastik semata-mata.

“Kita mengadakan kempen tanpa beg plastik, ada tak kita sediakan alternatif, salah satu alternatif yang perlu ialah penggunaan beg kertas.

“Jadi kita mungkin boleh balik kepada penggunaan beg kertas untuk membawa barang-barang. Mungkin itu lebih mudah lupus berbanding kita menyediakan satu kempen tanpa mencari alternatif,” soal Mohd. Yusof.

>> Laporan wartawan Antarapos, Azizul Othman I 10 Januari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *