Tumbangkan UmnoBN PRU14, AMANAH belajar tolak ansur dalam pembahagian kerusi

SHAH ALAM: Menghampiri PRU14, pimpinan Amanah Kawasan Kuala Selangor menyifatkan perkara paling penting adalah menumbangkan Umno-BN dengan belajar daripada keputusan dan analisis pilihan raya sebelum ini.

Sivabalan a/l Balasundaram

Naib Ketua 2, Sivabalan a/l Balasundaram berkata, dalam konteks Kuala Selangor, Pakatan Harapan perlu mengambil pengajaran daripada percaturan pada PRU13 yang kemudiannya menjadi punca kepada kekalahan Dr Dzulkefly yang ketika itu penyandang Ahli Parlimen berkenaan pada PRU13 lalu.

“Dun Malawati ditandingi calon PKR. Ketika PRU12 2008, BN letak calon India, PKR pun letak calon India. PKR menang dengan margin lebih 200 undi sahaja dan jumlah keluar undi Melayu kita dapati kurang 50 peratus.

“Masuk PRU13, BN letak calon Melayu. Sepatutnya PKR pun kena letak calon Melayu sebab kita sudah nampak sentimen kaum mempengaruhi undi tetapi diletak juga calon India di situ.

“Akhirnya, pembangkang kalah dengan 890 undi tidak silap saya,” ujarnya yang juga Pengarah Biro Pilihan Raya Amanah Kuala Selangor ketika ditemui di pejabat parti berkenaan baru-baru ini .

Justeru, isu berkenaan, jelasnya, harus diberi tumpuan oleh pimpinan atasan Pakatan Harapan selain suka atau tidak terpaksa bersedia dengan pertandingan tiga penjuru pada PRU14 nanti.

“Kita di akar umbi sudah beritahu. Kita cakap pun buktikan dengan fakta. Harap bukan sahaja di Kuala Selangor ini tapi ketepatan dalam pemilihan calon bertanding di semua tempat amat penting. Formula untuk Pakatan Harapan menang kali ini bukan ikut parti tapi fokus kita adalah untuk memenangkan Pakatan Harapan.

Mohd Maskor Tumiran

“Parti mana bertanding tak jadi isu. Paling penting tumbangkan BN. Mesti ada tolak ansur dalam pembahagian kerusi di Kuala Selangor,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Amanah Kuala Selangor, Mohd Maskor Tumiran menyifatkan kekalahan Dr Dzulkefly yang kini Pengarah Strategi Amanah sewaktu PRU13 lalu juga berkaitan dengan pola pengundi Melayu yang masih tegar menyokong BN.

“Kita kalah di Dun Jeram sehingga tidak mampu menampung kemenangan di dua Dun (Dun Malawati dan Dun Ijok) lagi. Kawasan kampung tradisi antaranya seperti di Bukit Cherakah dan Kerayong memang pengundi Melayu di sana memberi undi kepada BN,” ujarnya.

Bagi Penolong Setiausahanya, Arulselvi a/p Amalanathan, Pakatan Harapan harus mengutamakan calon bertanding yang mempunyai “pakej penuh” dari segi gerak kerja di akar umbi sehingga kemampuan membawakan suara rakyat di perbahasan Parlimen.

“Sesetengah calon gerak kerja bagus tetapi mungkin kurang pendedahan atau latar belakang pendidikan, tidak berupaya untuk aktif di sidang Dewan Rakyat. Ramai wakil rakyat kita bila dah dipilih mereka diam saja di dewan yang sepatutnya mereka bercakap tapi kalau depan pengundinya boleh bercakap. Akibatnya, harapan dan tujuan asal rakyat memilih mereka sebagai wakil suara mereka tidak sampai,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menolak kecenderungan memilih calon bertanding hanya berasaskan faktor kaum atas dasar mungkin mahu mengambil hati tanpa mengambil kira realiti demografi pengundi dan peranan sebenar wakil rakyat itu sendiri yang merentas warna kulit.

Arulselvi Amalanathan

“Kita tidak perlu menekankan pemilihan calon hanya mengikut kaum. Kita harus terbuka. Tak semestinya Amanah ada India, Cina, calon mesti ikut kaum seolah-olah wakil calon India berkhhidmat untuk India atau wakil rakyat Melayu hanya mengutamakan Melayu. Sepatutnya tidak kira kaum, kita mahu semangat kekitaan. Jadi, tak perlu fokus pada kaum untuk letak calon bertanding,” katanya.

Pada masa sama, Selvi menyifatkan Amanah sebagai parti setahun jagung wajar untuk bertolak ansur dengan tidak berebut banyak kerusi dengan rakan dalam Pakatan Harapan.

Pimpinan tinggi Amanah juga, tambahnya, perlu mengenal pasti bakat-bakal muda di peringkat akar umbi termasuk di kawasan luar bandar.

“Pimpinan kita mesti menyeluruh masuk ke kampung untuk cari pimpinan pelapis. Jangan tumpu pada satu-satu orang saja bagi mengelak muka yang sama saja sedangkan kita ramai bakat baru yang tiada saluran untuk menampilkan diri masing-masing dan Amanah perlu menampung mereka. Kita mahu Amanah berbeza dengan parti lain,” katanya lagi.

Tidak kurang pentingnya ketika musim pilihan raya, peranan kaum Hawa dalam menentukan keberkesanan kempen tambahan pula wanita merupakan segmen pengundi kritikal dalam demografi pilihan raya.

Hal ini turut diakui Ketua Angkatan Wanita (Awan) Kuala Selangor, Zoliah Atan yang menyifatkan PRU14 amat memerlukan usaha berlipat kali ganda di pihaknya dengan komposisi 58 peratus pengundi wanita di parlimen tersebut.

Zoliah Atan

“Sudah pasti sentuhan wanita mewmberi kesan. Mulanya, penglibatan saya dalam politik agak ‘mengerikan’ bagi saya tetapi ini cabaran bagi saya sendiri untuk menyedarkan masyarakat.

“Ramai pengundi wanita ramai masih tidak sedar kenaikan kos sara hidup apa lagi skandal 1MDB dan isu ketirisan membabitkan soal berkaitan urus tadbir yang baik. Tidak terkecuali kelompok wanita muda berusia sekitar 30-an.

“Mungkin faktor geografi, tinggal di kawasan luar bandar maka tekanan kenaikan harga makanan dan barangan tidak mereka rasakan sangat. Walaupun kita masih serba-serbi kurang, dengan sokongan semua pihak dan pimpinan, InsyaAllah kita cuba dengan bantuan Allah jua selepas berusaha sungguh-sungguh,” ujar Zoliah lagi.

Ikuti laporan lanjut berkaitan Amanah Kuala Selangor dalam paparan ‘Fokus Kawasan’ di akhbar mingguan Amanah terbaharu Edisi 33, 8 – 14 Januari di pasaran sekarang.

>> Laporan Khas Wartawan Malaysia Dateline, Arif Atan I 9 Januari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *