MCA tetap tolak Himpunan 355, Gerakan sokong DBKL larang guna Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, menegaskan parti itu akan menghadiri Himpunan 355 yang dianjurkan oleh Pas pada 18 Februari depan dan keputusan itu senada dengan pendirian MCA selama ini yang menolak Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita tidak akan menghadiri (perhimpunan Pas). Malah kita menyeru supaya tidak diadakan perhimpunan tersebut kerana ia akan menimbulkan masalah di antara agama,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Chew yang ditanya sama ada MCA telah bermesyuarat sebelum memutuskan perkara berkenaan berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Tak perlu kita bermesyuarat kerana ini adalah pendirian kita, bahawa tidak akan menyokong apa yang dicadangkan oleh Pas,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Biro Undang-Undang Pemuda Gerakan, Chai Ko Thing mengalu-alukan keputusan DBKL melarang Pas daripada mengadakan Himpunan 355 di Dataran Merdeka.

Ko Thing berkata, walaupun Gerakan menghormati hak untuk berhimpun secara bebas, adalah tidak sesuai apabila Pas memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan.

“Pas merancang untuk mengadakan perhimpunan besar dan lain-lain himpunan yang seakan-akan sama dengan Bersih, ia boleh menyebabkan gangguan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, motif di sebalik perhimpunan itu adalah ‘sangat mencurigakan’ kerana kerajaan telah mengumumkan bahawa satu kajian mendalam akan dijalankan ke atas pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

Ko Thing menambah bahawa memandangkan kerajaan akan mengambil alih perkara ini masa akan datang, tiada sebab untuk PAS mengadakan perhimpunan mega tersebut untuk mempamerkan kekuatannya.

Terdahulu, Pas telah mengumumkan akan menganjurkan Himpunan 355 pada 18 Februari depan sebagai satu lagi usaha memberi penerangan bersabit cadangan pindaan RUU 355, yang telah melalui dua kali penangguhan di Parlimen.

Cadangan pindaan tersebut menurut Pas adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tujuan penganjuran himpunan itu juga adalah untuk ‘memurnikan suasana’ ekoran sikap sesetengah pihak yang tidak bersetuju terhadap langkah itu.

Himpunan yang turut dianjurkan secara bersama dengan NGO dan aktivis itu turut menjemput kehadiran parti-parti politik termasuk DAP, AMANAH dan parti-parti komponen dalam BN.

MCA sebelum ini lantang menolak RUU 355 dengan memberi alasan ia bercanggah dengan dasar penubuhan Malaya.

Mereka juga menyatakan kebimbangan masyarakat Cina bahawa cadangan Pas itu sebagai usaha untuk melaksanakan hudud di negara ini yang akhirnya akan menyebabkan sistem perundangan Malaysia akan terbahagi kepada dua.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *