Anwar Ibrahim dibicara di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kes saman fitnah NST

GEORGE TOWN: Perbicaraan kes fitnah difailkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon, New Straits Times (NST) dan dua bekas wartawannya akan bermula di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Dalam tuntutan bertarikh 24 Ogos 2016 itu, Anwar menyaman Ranjit, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Jenayah Majlis Peguam Pulau Pinang, NST dan penulis khasnya Adrian Lai dan bekas wartawannya, Looi Sue-Chern.

Anwar memfailkan tuntutan itu berdasarkan kepada satu artikel berita bertajuk “Declare your assets, if you have nothing to hide”, disiarkan pada 6 Ogos 2013 dalam akhbar NST edisi cetakan.

Anwar memohon ganti rugi yang dirasakan sesuai oleh mahkamah dan permohonan maaf daripada semua defendan yang disiarkan di NST, lapor portal FMT hari ini.

Ranjit, dalam penyata pembelaannya berkata, kenyataannya tidak berunsur fitnah dan ia adalah “komen adil mengenai kepentingan umum”.

Dalam penyata tuntutan secara bersama, NST, Lai dan Looi berkata, laporan itu dibuat berdasarkan kepada kenyataan Ranjit dan ahli politik Zamil Ibrahim.

NST berkata, ia menjadi tanggungjawab moral untuk menyiarkan berita itu yang mempunyai kepentingan umum.

Anwar diwakili peguam S Raveentharan, sementara Baljit Singht mewakili Ranjit. NST, Lai dan Looi diwakili Datuk M Reza Hassan, Ellia Zuraini Mat Zin dan Umi Farhanah Mohd Nasir daripada Tetuan Raja Riza & Associates.

Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Justice Rosilah Yop.

Dalam artikel NST itu, Ranjit meminta Anwar dan mendiang Karpal Singh untuk mengisytiharkan aset mereka jika mahu menentang dakwaan yang mereka dikatakan merasuah hakim dan pendakwa untuk menentukan kes.

Artikel itu juga memetik kenyataan Zamil menyokong gesaan Ranjit.

Berita NST itu ialah susulan kepada laporan polis dibuat Anwar dan Karpal pada 4 Ogos 2013 di mana mereka menafikan merasuah badan kehakiman sejumlah RM50 juta sejak 2008.

Pada masa itu, tuduhan berkenaan dibuat menerusi satu surat layang yang didedahkan calon Pilihan Raya Umum 2013 daripada Umno bagi kerusi Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail.

Mazlan mendakwa menerima 6,000 surat layang di peti surat rumahnya di Bukit Mertajam pada awal Ogos 2013 daripada orang yang tidak dikenali, mendakwa Anwar dan Karpal terbabit dalam penetapan kehakiman.

Surat 8 muka surat itu bertajuk “Bankleaks Anwar/Karpal – 20/06/2013 – For the voters of Permatang Pauh”, mengandungi nombor akaun bank Anwar, selain perkara beberapa perkara yang menghina.

Penulis hanya memperkenalkan dirinya sebagai “bekas pekerja” firma guaman Karpal.
Anwar dan Karpal menafikan dakwaan dalam surat itu.

Mereka kemudian membuat laporan polis di Petaling Jaya, selepas berita itu disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia dan di Buletin Utama di TV3 pada 2 dan 3 Ogos 2013.

Anwar dan Karpal kemudian menyaman Mazlan, TV3 dan Utusan Malaysia. Mahkamah Tinggi memerintahkan semua pihak terbabit menyelesaikannya di luar mahkamah tetapi dilaporkan ia gagal diselesaikan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *