Teruskan siasatan terhadap Isa Samad, BN tandus tokoh untuk pimpin Felda

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mengalu-alukan perlantikan YB Tan Sri Shahrir Abd Samad sebagai Pengerusi Felda yang baharu seperti pengumuman YAB Perdana Menteri.

Saya tidak pasti apakah kriteria pemilihan beliau dilakukan, di saat isu-isu kritikal begitu hangat diperkatakan mengenai Felda. Laporan Jabatan Audit Negara, masa depan FGV, pembelian Ladang Pt Eagle High Plantation, Hutang/Kos Tanam Semula, perumahan Gen 2 dan pembayaran hasil yang lambat.

Dari zaman Tan Sri Raja Alias, Tan Sri Yusof Nor dan Tan Sri Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda, adalah jelas kegagalan Tan Sri Isa Samad telah menimbulkan amarah warga Felda. Bagaimana Tan Sri Shahrir Samad boleh bertanggungjawab untuk mencuci ‘najis’ yang ditinggalkan merata tempat?

Ia misi sukar, apatah lagi jika Tan Sri Shahrir meneruskan dasar kerajaan di bawah Datuk Sri Najib yang tidak membawa manfaat kepada warga Felda.

Justeru, sebagai langkah pertama, beliau harus kemukakan kepada kerajaan, agar pembelian Ladang Pt Eagle High Plantation yang dibuat di hujung era Isa Samad mestilah dibatalkan. Ia isyarat kesungguhan awal beliau untuk membawa pembaharuan.

Dalam masa yang sama, ANAK mengulangi gesaan agar semua jawatan Tan Sri Isa Samad seperti Pengerusi FIC, Pengerusi FGV, Pengerusi Felda Holding dan anak-anak syarikat hendaklah di tamatkan. Bebaskan pengaruh dan cengkaman Isa Samad dalam semua institusi berkaitan Felda segera.

Bahkan, atas aduan kepada Polis dan SPRM, siasatan terhadap Isa Samad mesti diteruskan. Audit menyeluruh sepanjang perkhidmatan beliau dari Januari 2011 hingga 31 Dis 2016 mesti di lakukan. Jika ada bukti salah laku, Isa Samad mesti dihadap ke muka pengadilan!

ANAK melihat perlantikan Tan Sri Shahrir Abd Samad adalah petanda PRU14 semakin hampir, BN begitu terdesak untuk pertahankan sokongan undi warga Felda di 54 kawasan Parlimen dan 92 Dun.

Mengikut perhitungan BN, barangkali perlantikan Tan Sri Shahrir adalah langkah terbaik menyelamatkan undi warga Felda. Akan ada ‘gula gula’ diumumkan, seperti durian runtuh sebelum PRU13 dahulu.

Moga warga Felda tidak terperangkap dengan taktik seperti ini pada setiap kali menghampiri pilihanraya.

Siapa pun Tan Sri Shahrir Abd Samad, beliau adalah sebahagian dari pemimpin UM0mno daripada sebuah kerajaan yang korup!

>> Komentar bebas Presiden ANAK, Mazlan Aliman I 7 Januari 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *