Iskandar diingatkan, yang tolak kerjasama dengan AMANAH serta Pakatan Harapan ialah Pas

SHAH ALAM: Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd Samad diingatkan supaya segera sedar yang menolak rundingan kerjasama ialah Pas, bukannya AMANAH dan tidak juga Pakatan Harapan, tegas Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Jamzuri Ardani.

“Pihak yang tolak kerjasama ialah Pas, bukan AMANAH dan tidak juga Pakatan Harapan. Yang menubuhkan Blok Ketiga ialah Pas, bukannya AMANAH dan bukan juga Pakatan Harapan,” kata beliau kepada Amanahdaily.

Jamzuri Ardani, Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor

Pada 2 Januari lalu, Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor memberi amaran kepada parti-parti pembangkang lain untuk sama-sama berbincang mengenai kerusi dalam menghadapi PRU14.

Katanya, sekiranya parti-parti lain boleh bersetuju dua penjuru, Pas sedia untuk menghormatinya tetapi sekiranya ia tidak berlaku, Pas seakan memberi amaran bahawa “sama-sama kita menanggungnya”.

Iskandar berkata, jika tidak ada persetujuan dan akan berlaku “free for all”, Pas bersedia bertandibg tiga penjuru dan menerokai kawasan-kawasan baru.

Mengulas lanjut, Jamzuri berkata sekarang ini, Iskandar mahu mengugut pula sekiranya tiada rundingan kerusi untuk pertandingan dua penjuru, maka Pas sanggup “meneroka kawasan-kawasan baru” dengan maksud bertanding di kawasan yang bukan kawasan yang mereka bertanding dalam PRU13.

Sikap Iskandar ini sangat memalukan, tegas Jamzuri, ia ibarat menepuk air di dulang, memercik kemuka sendiri.

Pas katanya, tidak ada banyak pilihan, samada membuang sifat kebencian dan permusuhan terhadap Pakatan Harapan serta berunding dengan baik, atau akan terus sahaja bersama BN.

Sebarang bentuk pilihan lain hanyalah satu bentuk amalan politik makan keliling, ujar beliau lagi.

“Sikap kami, musuh tidak dicari, tapi kalau bertemu kami tak lari,” tegasnya.

Jamzuri berkata, semasa AMANAH ditubuhkan, mereka yang meninggalkan Pas sekadar memilih untuk “berbeza” dengan parti itu, bukan untuk bermusuh.

“Bagi kami tertubuhnya AMANAH adalah sebagai satu jalan penyelesaian, bukan pengkhianatan. Kami sentiasa membuka pintu perbincangan dan rundingan dalam apa juga isu yang berbangkit,” tegas beliau.

Malangnya sedari awal lagi, menurutnya, Pas yang memilih untuk bersungguh-sungguh bermusuh dengan AMANAH dan Pakatan Harapan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *