AMANAH mahu SPRM jadi entiti bebas bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya menjadi entiti bebas yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen, bukannya seperti amalan sekarang melaporkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengarah Strategik AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penahanan Eksekutif Kanan Jabatan Air Sabah dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah menunjukkan agensi anti rasuah itu seperti bangkit semula, lapor portal FMT.

“Penahanan pegawai kanan Jabatan Air Sabah pada awal Oktober kerana didakwa menyeleweng lebih RM115 juta dan KSU kementerian awal tahun ini kerana disyaki rasuah bernilai jutaan ringgit, perlu dipuji,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, katanya, harapan sebenar supaya agensi itu berubah sepenuhnya dan menangkap ikan besar tidak akan tercapai dalam tempoh terdekat.

Dzulkefly berkata, apa yang menghalang perubahan SPRM ialah mereka tidak bebas.

Di sebalik banyak gesaan untuk SPRM berubah, yang menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Januari 2009, Dzulkefly berkata, cadangan itu tidak diendahkan.

“Sudah berulang kali dicadangkan tetapi Putrajaya tidak mendengar. Cadangan Aliran, contohnya amat berbaloi untuk dipertimbangkan secara serius.

“Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694) perlu dipinda untuk menyusun semula Jawatankuasa Khas Rasuah di bawah Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai Anti Rasuah di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dzulkefly berkata, peranan jawatankuasa pemilih itu juga perlu diluaskan daripada hanya memberi nasihat dan memeriksa, kepada mengkritik aktiviti pengurusan dan operasi suruhanjaya itu.

“Dalam kata lain, jawatankuasa pemilih perlu bertindak sebagai mekanisme periksa dan imbang untuk memastikan SPRM mematuhi standard prosedur operasi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau juga mendesak panel penasihat dan semakan pada masa ini dimansuhkan, dengan peranan itu dipindahkan kepada jawatankuasa pemilih.

“Jawatankuasa Aduan juga perlu ditukar kepada jawatankuasa aduan bebas dengan ahlinya perlu dilantik oleh Agong berdasarkan kepada syor daripada jawatankuasa pemilih.

“Ia patut terdiri daripada orang awam yang layak dan dikenali pernah berkhidmat kepada negara,” katanya.

Dzulkefly berkata, SPRM juga perlu dibenarkan mempunyai suruhanjaya perkhidmatan sendiri yang berhak untuk melantik, memecat, memindahkan, menaikkan pangkat dan memberi ganjaran kepada pegawainya atas budi bicara sendiri.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *