Wanita PKR sedia menyiapkan pentas untuk Datuk Bahri dedah kepincangan negara

Tindakan bekas Pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin yang memilih untuk bersara awal adalah wajar dipuji dan diterima dengan baik semua pihak.

Sebagai individu yang bertanggungjawab menjalankan dan mengetuai siasatan dalam kes SRC International pastinya kekecewaan beliau tidak terbendung apabila kes ini tidak didakwa di mahkamah.

Kes ini semestinya bukan kes biasa apabila dilaporkan seramai enam pegawai kanan BOK yang terlibat secara langsung dalam siasatan kes yang sama dilaporkan telah dipindahkan ke bahagian lain atau bertugas di peringkat negeri.

Kenyataan Datuk Bahrin yang mengesahkan bahawa beliau “kecewa” dan tidak mahu lagi berkhidmat dengan “undang-undang sarang labah-labah” yang hanya memerangkap pesalah kecil ini tidak boleh dipandang sebelah mata.

Laporan awal juga menunjukkan beliau kecewa dan berasa amat berdosa kepada rakyat Malaysia “kerana kes SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah”.

Sebagai bekas pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai akses kepada siasatan dan bukti-bukti, Datuk Bahri tidak wajar hanya menyatakan kekecewaan beliau dengan cuma berundur diri dari jawatannya dan berdiam diri.

Beliau sewajarnya tampil memberikan penjelasan terperinci akan tindakan yang diambilnya itu kerana ia melibatkan kepentingan wang pembayar cukai dan rakyat negara ini.

Datuk Bahri wajib menjalankan amanah beliau sebagai seorang muslim yang baik, iaitu dengan menyatakan kebenaran tanpa perlu takut dengan ugutan mahupun ancaman yang dilemparkan terhadap beliau.

Maka dengan ini, Wanita Keadilan bersedia berkerjasama dan menyiapkan pentas di seluruh Negara untuk menjadi platform bagi Datuk Bahari mahupun sesiapa sahaja yang ingin bersama-sama menyatakan kebenaran dan mendedahkan penyalahgunaan kuasa serta menghentikan regim kleptokrasi dalam Negara ini.

Tinggalkan “undang-undang sarang labah-labah” dan marilah bersama rakyat menebarkan “undang-undang pukat harimau” yang boleh menjerat sekecil-kecil bilis dan memerangkap sebesar-besar jerung.

Berani kerana benar!

YB Puan Hjh Zuraida Kamaruddin

Ahli Parlimen Ampang

Ketua Wanita Keadilan

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *