SPRM temui 8kg emas lagi bernilai RM1.6 juta, rampas peti simpanan tunai RM1juta termasuk AUD80,000

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui 8kg emas lagi, dianggarkan bernilai RM1.6 juta, dalam siasatan kes rasuah susulan penahanan ketua setiausaha sebuah kementerian, semalam.

Menurut sumber, SPRM menemui beberapa peti simpanan milik suspek pada Khamis di beberapa buah bank. Turut dirampas daripada peti simpanan adalah wang tunai RM1 juta, termasuk AUD80,000 (RM262,431).

“SPRM turut menyita sebuah kenderaan serba guna Toyota Estima milik anak suspek di rumahnya.

“Suspek-suspek berkenaan dikatakan mempunyai lebih 10 lot tanah atas nama ahli keluarga di sekitar Lembah Klang dan difahamkan SPRM kini sedang membuat pengesahan serta menilai tanah-tanah terbabit.

“SPRM juga akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan sama ada suspek berkenaan pernah membuat pembayaran sebarang cukai sejak 2010,” kata sumber itu.

Pagi semalam 5 Januari, ketua setiausaha kementerian dan dua anaknya direman selama seminggu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Dalam operasi semalam, SPRM merampas jongkong emas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Menurut portal FMT, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *