Kit Siang nafi sekeras-kerasnya beliau salah seorang sepupu Chin Peng dan Lee Kuan Yew

GEORGETOWN: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah salah seorang sepupu kepada bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan menafikan juga beliau sepupu kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

“Saya menjawab tuduhan ini berdasarkan ‘tweet’ fitnah yang dilemparkan individu yang berkongsi carta salasilah keluarga kononnya mengatakan kami bersaudara,” katanya dalam sidang media di Wisma DAP Jalan Ranggon, dekat sini yang dihadiri sama beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang.

Selain Kit Siang, turut didakwa kononnya sebagai ahli keluarga Chin Peng dan juga Kuan Yew ialah anaknya, Lim Guan Eng yang turut dikatakan anak saudara kepada kedua-dua pemimpin berkenaan.

Tidak ketinggalan, melalui carta keluarga yang disebar melalui media sosial, beberapa pemimpin DAP yang lain ditampilkan termasuk Tony Pua, Anthony Loke, Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming juga dikatakan anak saudara kepada Chin Peng dan Kuan Yew.

Sementara itu Ahli Parlimen DAP Seputih, Teresa Kok pula dikatakan sepupu isteri Lim Kit Siang.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gelang Patah itu, berkata, beliau sendiri tidak mengetahui bagaimana namanya terpalit dengan kedua-dua pemimpin tersebut, sedangkan Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang dilahirkan di Sitiawan, Perak adalah berketurunan Hockchia.

Sementara itu ujarnya, Kuan Yew yang dilahirkan di Singapura adalah berketurunan Hakka dan beliau pula berketurunan Hokkien dan dilahirkan di Batu Pahat.

Kit Siang berkata, ini bukanlah kali pertama pemimpin-pemimpin dari DAP dikaitkan dengan tuduhan liar seperti itu tetapi sejak tahun lalu, dakwaan berhubung pertalian darah itu mula tersebar dalam kalangan blogger bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat terhadap parti berkenaan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *