3 kampung orang asli dinafikan hak mereka, Pemuda AMANAH Johor tuntut penjelasan

JOHOR BHARU: Pemuda AMANAH Johor menuntut penjelasan daripada Perbadanan Taman Negara Johor berkenaan tiga kampung orang asli yang melibatkan lebih 700 orang penduduk telah terkesan dengan Projek Pembangunan Taman Negara Johor yang diurus tadbir oleh perbadanan.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Johor, ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi hairan kenapa tiada konsultasi dengan penduduk kampung orang asli sebelum diluluskan projek pembangunan tersebut dan mengapa tanah adat orang asli boleh terlibat tanpa pengetahuan mereka dalam projek ini?

“Juga kenapa tiada signboard yang dinaikkan menunjukkan projek ini benar-benar mendapat kelulusan daripada pihak perbadanan?” soal beliau dalam satu kenyataannya kepada Amanahdaily.

Tiga kampung orang asli yang terlibat adalah Kg Orang Asli Air Tawas, Kg Orang Asli Tanah Gembur dan Kg Orang Asli Sungai Mering. Projek Pembangunan yang dilakukan adalah pemasangan pagar sekeliling kampung dan juga pembinaan parit sempadan sepanjang 4km.

Menurut ‘Asim ‘Abdullah, pelaksanaan projek ini telah menjejaskan sosio-ekonomi kampung orang asli seperti laluan utama mereka ke kebun dan hutan telah dikorek, kebun-kebun mereka telah dibersihkan bahkan tanah perkuburan turun-menurun juga telah terjejas.

Lebih mendukacitakan, tegas beliau, projek ini telah dilaksanakan tanpa konsultasi daripada Tok Batin ketiga-tiga kampung serta penduduk dan tiada sebarang signboard dinaikkan.

Ujarnya lagi, tiada dokumen lengkap daripada Majlis Daerah Tangkak (MDT) mengesahkan kebenaran kontraktor untuk melakukan kerja-kerja bahkan notis yang diberikan pun hanyalah sekadar surat pemakluman kontraktor kepada Perbadanan Taman Negara Johor yang di ‘S.K (Salinan Kepada)’ kepada Tok Batin sahaja.

Pemuda AMANAH Johor, tegas ‘Asim ‘Abdullah, menyifatkan ini sebagai satu bentuk pencerobohan terhadap tanah adat orang asli serta satu bentuk penindasan kepada mereka.

“Bagaimana mereka nak menjalankan kerja seharian mereka kiranya mereka disekat daripada masuk ke kebun dan hutan yang sememangnya tempat mereka membesar sejak turun menurun?” tanya beliau yang juga Setiausaha Amanah Kawasan Ledang.

Katanya, Pemuda AMANAH Johor bersama penduduk ketiga-tiga kampung orang asli berkenaan menuntut hak mereka yang telah dicerobohi dan menuntut dihentikan penindasan ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *