Tanpa Pas, Pakatan Harapan punyai peluang cerah benamkan UmnoBN – Khalid Samad

SHAH ALAM: Pakatan Harapan mampu menumbangkan UmnoBN pada PRU14 yang akan datang walaupun tanpa penyertaan Pas, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Ini kerana, tegas beliau yang juga adalah Ahli Parlimen Shah Alam, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mampu membawa undi yang mencukupi untuk mengalahkan BN, lapor Malaysiakini.

Beliau mengandaikan ini berdasarkan pengiraan kasar, dengan anggapan bahawa pembangkang yang diwakili oleh Pakatan Rakyat pada tahun 2013 mendapat 50,000 undi, manakala BN pula meraih 45,000 undi.

Berdasarkan angka-angka ini, Khalid berkata, pada pilihan raya akan datang, Pakatan Harapan akan kekurangan kira-kira 7,000 undi daripada Pas.

Walau bagaimanapun, katanya, AMANAH mampu membantu membawa 3,000 undi, dan PPBM pula akan membawa lebih 3,500 undi daripada Umno.

Ini akan menjadikan Pakatan Harapan mendapat 46,500 undi, berbanding BN, 41,500 undi dan Pas 7,000 undi.

“Berdasarkan anggaran mudah di atas, maka calon Pakatan Harapan masih boleh menang hasil daripada kewujudan AMANAH dan BERSATU.

“Ini adalah kerana kesan kewujudan mereka adalah pertambahan undi pada Pakatan Harapan dan pengurangan undi pada Pas dan UmnoBN,” katanya.

Khalid berkata, berdasarkan anggaran seperti di atas, UmnoBN juga mampu menang sekiranya undi Pas beralih menyokong calon UmnoBN.

Beliau berkata, jika ini berlaku, majoriti pengundi Pas akan sama ada memboikot pilihan raya itu atau mengundi calon Pakatan Harapan sebaliknya.

“Maka keunggulan kerjasama Pakatan Harapan dan PPBM adalah ia menggabungkan empat parti yang mempunyai sokongan tersendiri,” katanya.

BN memenangi PRU13 yang lalu dengan menawan 133 kerusi di Parlimen, tetapi hanya mendapat 47 peratus undi popular.

Sebaliknya, pembangkang mendapat 51 peratus undi popular 2013, tetapi hanya mampu memenangi 88 kerusi parlimen.

Pengkritik berkata, ini adalah disebabkan oleh pengagihan pengundi yang tidak seimbang, dengan setiap kerusi di bandar hanya menyamai dua atau lebih kerusi luar bandar.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *