Skim Bayar Penuh (FPP) boleh disalah guna, bimbang ada pesakit terabai – PSM

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa, doktor pakar boleh merawat dan mengenakan caj sehingga tiga kali ganda gaji yang dibayar hospital dan sekiranya gaji dan elaun bulanan doktor itu RM15,000, ini bermakna doktor berkenaan boleh mengambil kesempatan daripada Skim Pesakit Bayar Penuh (FPP) untuk memperoleh RM45,000 sebulan.

“Sekiranya 2/3 gaji kamu itu daripada FPP, tidak mahukah kamu memberi komitmen dan perhatian kepada mereka dan bukan kepada pesakit lain?” soal Setiausaha Agung parti itu, V Sivarajan dalam satu kenyataannya kepada Amanahdaily.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A Sivarajan

Tegasnya, FPP hospital kerajaan yang akan diperluaskan bagi membantu doktor pakar menambah pendapatan akan terdedah kepada salah guna, kerana perkhidmatan itu mengalakkan hospital dan doktor pakar mengutamakan FPP daripada bukan FPP disebabkan FPP membolehkan penggunanya di tempatkan di wad kelas bawah, yang lazimnya menempatkan pesakit awam.

Soalnya, tanya beliau, bagaimana sistem itu mengutamakan dan menentukan pemberian katil?

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya baru-baru ini mengumumkan skim FPP akan diperluaskan kepada lapan buah hospital, selepas Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya.

Lapan hospital itu adalah Hospital Besar Kota Bharu, Hospital Kuala Terengganu, Hospital Kuantan, Hospital Temerloh, Hospital Ipoh, Hospital Besar Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Seremban.

Di bawah skim itu, doktor pakar di hospital berkenaan boleh menyediakan khidmat rundingan dan merawat pesakit yang sedia membayar kadar hospital swasta.

Hilmi berkata skim itu diperkenalkan bagi mengawal penghijrahan doktor ke hospital swasta yang menawarkan gaji yang lebih baik, dan tidak akan menjejaskan mutu rawatan di hospital kerajaan.

Mengulas lanjut, Sivarajan berkata, kawal guna yang samar menguatkan hujah PSM bahawa mutu rawatan untuk pesakit tidak berbayar akan menurun kerana semua doktor pakar yang pernah terlibat atau belum terlibat akan pergi kepada skim FPP, dan akan mengabaikan tanggungjawab kepada pesakit awam.

Tegasnya, berdasarkan kepada analisis ke atas garis panduan skim, kami menyimpulkan FPP mengutamakan pendapatan doktor pakar.

Di samping memastikan doktor pakar tidak berhijrah ke hospital swasta, kementerian juga mahu mengambil keuntungan daripada pesakit bayar penuh untuk mengumpul dana bagi perkhidmatan tersubsidi untuk rakyat terbanyak, ujar beliau lagi.

Sivarajan berkata, skim FPP membolehkan kerajaan mengurangkan belanjawan kesihatan dan memaksa hospital kerajaan supaya berkelakuan seperti entiti perniagaan.

Ini menyebabkan, katanya, pengarah hospital akan terdorong untuk memudah dan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk skim FPP bagi menampung kos menguruskan hospital.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *