Remaja panjat papan tanda gergasi ‘IPOH’ mohon maaf, akui minat aksi-aksi berani lasak

PETALING JAYA: Selepas menyerah diri kepada polis, sekumpulan lapan remaja yang memanjat papan tanda gergasi “Ipoh” memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia menerusi sebuah video yang dimuat naik China Press semalam.

Norfarihan Baharudin, 23, yang mewakili tujuh rakannya yang lain berkata sebaik sahaja menyedari perbuatan mereka menjadi viral di media sosial, mereka ingin memohon maaf tetapi tidak diberi peluang untuk berbuat demikian.

“Kami faham bila dikecam masyarakat. Tapi saya tak diberi peluang untuk memberikan keterangan. Hendak bercakap pun takut.

“Saya hendak memberitahu di sini, saya dan rakan lain ingin memohon maaf kepada masyarakat. Kami tahu perbuatan ini salah,” katanya menerusi sebuah video berkenaan.

Wakil kumpulan lapan anak muda itu berkata, mereka menyedari kesilapan yang sudah dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya, lapor portal Utusan Malaysia.

Aktiviti memanjat mercu tanda itu, di puncak sebuah bukit batu kapur di sini, bukan untuk meraih populariti namun ia ditularkan oleh pihak lain, kata Norfarihan Baharuddin.

“Bukan kami yang menyebarkan gambar aksi kami di papan tanda Ipoh. Ia tersebar selepas kami ditemubual oleh satu laman sosial dan kami tidak menyangka ia menjadi viral,” katanya.

Gambar lapan remaja memanjat papan tanda gergasi setinggi lebih 20 meter itu menjadi viral selama 4 hari di media sosial seperti Facebook, YouTube dan Instagram.

Ia memaparkan pelbagai aksi berbahaya mereka tanpa memakai sebarang peralatan keselamatan, termasuk berbaring pada buaian kanvas (hammock) yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut.

Mereka sebelum ini mendakwa, memperoleh kebenaran daripada Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) untuk melakukan perkara itu. Bagaimanapun, ia kemudian dinafikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man yang berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk memanjat papan tanda “Ipoh” daripada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Norfarihan turut mengakui beliau dan rakan yang lain amat menyukai kegiatan mendaki gunung dan bukit.

“Kami mempunyai latar belakang masing-masing. Jadi, bila kami memanjatnya, soal keselamatan sudah diambil kira tapi tak menyangka perkara begini akan berlaku,” katanya.

Menurut Bernama, foto mereka memanjat dan berdiri tanpa tali keselamatan di perkataan IPOH menular hujung bulan lalu, antaranya di laman sosial Instagram dan YouTube. Kumpulan berkenaan juga merakamkan aksi baring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *