Lebih 20,000 dipindahkan di Terengganu, Kelantan, banjir semakin teruk

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan dilaporkan bertambah buruk, apabila lebih 20,000 mangsa daripada 6,449 keluarga terpaksa dipindahkan ke 207 pusat pemindahan di dua negeri itu.

Skuad Peduli Banjir AMANAH Kelantan turut menghulurkan sumbangan dan membantu mangsa-mangsa banjir di Rantau Panjang.

Menurut aplikasi Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di dua negeri Pantai Timur itu meningkat secara mendadak kepada 20,742 orang, setakat 8.20 semalam.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 10,766 orang daripada 3,169 keluarga yang ditempatkan di 125 pusat pemindahan berbanding 4,352 orang pada 9 malam semalam.

Di Kelantan pula, seramai 9,976 orang daripada 3,280 keluarga ditempatkan di 82 pusat pemindahan pagi ini berbanding 6,110 orang pada 9 malam tadi.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan enam sungai di empat daerah di Terengganu kini melepasi paras bahaya.

Ia membabitkan Sungai Besut di Kampung La dan Jambatan Jerteh, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Telemong di Kuala Ping, Sungai Berang di Kampung Menerong serta Sungai Dungun di Kuala Jengai dan Jambatan Jerangau.

Sebanyak 48 sekolah di lima jajahan Kelantan turut ditutup hari ini kerana sekolah dinaiki air atau laluan ke sekolah terbabit ditenggelami air.

Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan menerusi kenyataan malam tadi berkata, ia membabitkan 24 sekolah di jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (9), Tanah Merah (6), Tumpat (5) dan Machang (4).

Penutupan sekolah itu membabitkan 1,528 guru dan 15,084 pelajar di Kelantan.

Bagaimanapun, pegawai khidmat pelanggan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, semalam memaklumkan tiada notis pembatalan perjalanan bas dari atau ke Kelantan dan Terengganu.

Cuti tahunan 5,000 anggota polis di Kelantan turut dibekukan ekoran keadaan banjir di negeri berkenaan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *