Kemiskinan disebabkan hutang isi rumah lebih tinggi daripada pendapatan

Berita viral mengenai kemuliaan hati seorang individu sanggup mengorbankan RM44,500 wang deposit rumah yang dilelongkan untuk dikembalikan kepada pemilik rumah asal adalah satu tindakan yang perlu dipuji. Walaupun berlainan bangsa tetapi kemanusiaan yang ditunjukkan merupakan satu langkah yang melangkaui sempadan kehidupan.

Kisah ini merupakan satu dimensi kemiskinan baharu di bandar. Sejak kebelakangan ini, kehidupan di bandar semakin sukar disebabkan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.

Kenaikan harga minyak masak dan beberapa keperluan lain telah menyebabkan peningkatan harga makanan di pasaran, walaupun kemiskinan berjaya dikurangkan dari 5.7 peratus pada 2007 kepada kurang dari 1 peratus tahun 2016.

Tetapi golongan miskin bandar semakin meningkat jika diukur dengan garis pendapatan kemiskinan pada RM3,000 ke bawah dan bukannya berdasarkan pada pendapatan RM920 pada 2012.

Kemiskinan hidup di bandar lebih besar impaknya ke atas kehidupan rakyat marhaen. Ini disebabkan kemiskinan ditakrifkan sebagai kekurangan sumber-sumber kebendaan untuk memenuhi kesejahteraan ekonomi. Ekonomi dimaksudkan adalah memenuhi asas kehidupan seseorang manusia dari segi material dan keperluan hidup.

Data yang diperoleh pada tahun 2014, 74.3 peratus penduduk bandar mempunyai nisbah tanggungan 44.5 peratus bagi setiap keluarga.

Perlu disedari, daripada kumpulan 74.3 peratus isi rumah di bandar, 51.4 peratus mempunyai pendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Kumpulan 51.4 peratus berpendapatan purata RM1,800 pada tahun 2014.

Purata saiz isi rumah ialah 4.4 orang. Ini bermaksud untuk setiap individu dalam isi rumah, peruntukan selama satu bulan ialah sekitar RM409 atau RM13.60 sehari.

Bagi yang berpendapatan lebih rendah daripada kadar purata ini, di mana 1.7 peratus dikelaskan sebagai miskin dan 0.2 peratus sebagai miskin tegar (2012), pendapatan mereka jauh lebih rendah.

Berdasarkan data awalan Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2014, pekali Gini terus berkurangan kepada 0.421 pada 2016.

Walaupun begitu, jurang ekonomi di bandar antara tahun 1997 dan 2012 tidak menyusut, berada pada 0.427 mata indeks Gini sementara jurang ekonomi di luar bandar pula menyusut dari 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.431 pada 2012.

Sementara itu, pendapatan median mengikut negeri dan wilayah persekutuan nampak tidak begitu menggalakkan, di mana tiga yang tertinggi ialah di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu RM2,495, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM2,095) dan Selangor (RM1,980) sementara tiga yang terendah ialah di Sabah iaitu RM910, Perlis dan Kelantan (RM1,000) dan Terengganu (RM1,100) pada tahun 2012. Sarawak, Perak dan Kedah pula mempunyai pendapatan median sebanyak RM1,200.

Realiti dan cabaran kemiskinan hari ini adalah disebabkan hutang isi rumah lebih tinggi daripada pendapatan yang diperoleh. Ini disebabkan kos kehidupan yang meningkat, walaupun kita berjaya mengurangkan kemiskinan pada garis pendapatan RM920 yang ditetapkan pada tahun 2012.

Tetapi dimensi kemiskinan baru telah wujud di bandar yang memerlukan satu model pengurusan kemiskinan yang mampu menangani jurang antara pendapatan dan hutang isi rumah. Ini bermakna pihak organisasi awam yang menguruskan kemiskinan perlu melihat kepada perspektif baru.

Pembangunan komuniti yang dijalankan ke atas golongan miskin yang berdasarkan pendapatan perlu diperluaskan konsepnya supaya tidak terikat dengan garis pendapatan kemiskinan sedia ada.

Program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh organisasi awam perlu mengambil kira dari segi kefungsian sosioekonomi dan dimensi baru ini. Organisasi tersebut perlu menggariskan paksaan ke atas penyertaan mereka yang mempunyai hutang isi rumah yang tinggi dan berlebihan berbanding dengan pendapatan sedia ada.
Paksaan ini amat penting supaya organisasi awam yang terlibat dapat menyusun kembali kehidupan golongan yang terlibat. Bank kurang mampu untuk menyelesaikan permasalahan ini kerana akan menyebabkan golongan tersebut mungkin muflis disebabkan pinjaman.

Pengurus-pengurus organisasi awam sering kali memahami untuk menguruskan golongan miskin adalah menyediakan kemudahan asas, memberikan pekerjaan dan bantuan sokongan material.

Hal ini menggambarkan pengurusan kemiskinan oleh organisasi awam telah gagal dalam dimensi baru ini. Realiti pengurusan kemiskinan yang melibatkan golongan ini disebabkan pendapatan dan tingkah laku. Golongan ini mempunyai pendapatan tetapi tidak mampu menguruskan kos kehidupan.

Maka perbaikilah tingkah-laku supaya menjadi positif dalam memperbaiki kehidupan. Jika kaedah ini berjaya maka berkurangnya permasalahan sosial kemiskinan di banda

>> Komentar bebas kolumnis Sinar Harian, Dr Iskandar Hassan Tan Abdullah. telah disaiarkan dalam portal Sinar Harian I 5 Januari 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *