Husam mengajak mangsa banjir beristigfar bagi mengelakkan bala turun

TURKI: Penasihat AMANAH Kelantan, Datuk Husam Musa mengajak umat Islam khususnya mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu beristighfar kerana amalan itu boleh mengelakkan bala daripada turun atau mengangkat bala yang sedang turun.

“Perbanyakkan istighfar (sama ada) berseorangan, bersama keluarga atau beramai-ramai,” katanya dalam kenyataan kepada Amanahdaily.

Husam yang kini berada di Turki, menjalankan misi kemanusiaan untuk pelarian Syria sejak 31 Disember lalu.

Beliau juga mengikuti secara dekat perkembangan bencana banjir yang menimpa Pantai Timur Semenanjung, khususnya di Kelantan dari sempadan Turki Syria.

“Pada waktu ini, kami sedang berkereta dari bandar Raihaniyat ke Urfa yang memakan masa selama lima jam,” ujar beliau.

Timbalan Presiden MANAH, Salahuddin Ayub turun padang semalam di Rantau Panjang menyampaikan sumbangan barapan makan kepada mangsa-mangsa banjir bersama Skuad Peduli Banjir AMANAH Kelantan.

Menurut Husam, beliau telah menderma RM 7,000 kepada Tabung Banjir AMANAH Kelantan untuk bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat.

Sejak minggu lalu, AMANAH Kelantan sudah membuka Bilik Gerakan Banjir yang diketuai oleh Naib Pengerusi AMANAH negeri, Ustaz Che Ibrahim Mohamed. Para sukarelawan dan Skuad Peduli Banjir AMANAH sudah turun padang menyampaikan bantuan makanan, tenaga dan memantau perkembangan banjir.

Dalam perkembangan lain, keadaan banjir di Kelantan semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan meningkat mendadak awal pagi semalam kepada 9,643 orang berbanding 6,014 sebelum itu.

Setakat jam 10 pagi semalam, portal e-Banjir Kerajaan Kelantan melaporkan 3,153 keluarga dipindahkan ke 83 pusat pemindahan di sembilan jajahan yang terlibat dengan banjir.

Jajahan Pasir Mas terus mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu sebanyak 5,410 mangsa terdiri daripada 2,088 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *