Pakatan Harapan perlu lupakan Pas jika parti itu terus ego, biarkan ia bersendirian – Che Ibrahim

KOTA BHARU: Jika Pas masih bersikap keras dan enggan tunduk kepada kehendak semasa bagi mempastikan pembangkang dapat berdepan dengan BN secara satu lawan satu dlm PRU 14 nanti, maka tidak ada pilihan lain kecuali Pakatan Harapan melupakan Pas dan membiarkan parti itu secara bersendirian menentukan halatujunya.

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed, yakin rakyat hari ini sudah terlalu bijak untuk menilai siapa sebenarnya yang tegar menentang UmnoBN, dan siapa pula yang membantu UmnoBN secara tidak langsung apabila Pas tetap berkeras dengan keputusannya.

Katanya, memandangkan PKR sudah menandatangani MoU untuk bersama Dap dan Amanah dalam Pakatan Harapan, dan pada masa yang sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga menjalinkan persefahaman dengan Pakatan Harapan, maka sewajarnya amaran Pas itu tidak perlu diberi perhatian.

“Biarkan Pas dengan keputusannya sendiri,” tegas beliau kepada Amanahdaily.

Terdahulu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan parti itu berpendirian tidak mengamalkan budaya tikam belakang, terutamanya dalam menjalinkan persahabatan bersama rakan sekutu politiknya.

Justeru ujarnya, atas dasar yang sama, Pas ingin mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menjalinkan persahabatan politik dengan parti itu mesti menghormati dan jujur dengan pendirian yang dipegang parti itu.

Mohd Amar mendakwa, Pas telah berkali-kali dikhianati semasa berada di dalam BN dan ketika menjalinkan persahabatan dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP sebelum ini.

Beliau juga memberitahu, malah Pas bukanlah ‘tangga’ untuk batu loncatan mana-mana pihak sehingga parti itu dilupakan apabila sudah sampai ke atas puncak.

Mengulas lanjut, Ustaz Che Ibrahim berkata, Pas boleh berkata apa saja untuk pertahankan keputusannya untuk tidak bersama Pakatan Harapan, tetapi parti parti lain terutama PKR dan PPBM tidak perlu tunduk kepada keegoan Pas kerana mereka sudah berada dalam satu pakatan yang lebih terbuka dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Beliau berkata, Pas tidak boleh menjadi satu parti yang cuba memaksa semua orang tunduk kepada kehendak dan arahannya, walaupun memang diakui ketiadaan Pas dalam pakatan pembangkang sedikit sebanyak memberi keuntungan kepada BN.

Bagi AMANAH, tegasnya, idea untuk menggabungkan semua parti pembangkang bagi menentang UmnoBN dalam PRU14 memang diakui sebagai langkah terbaik, namun kadang-kadang bukan semua yang anggap baik itu, dipandang baik oleh pihak lain.

Katanya, kenyataan Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas itu ternyata telah diluahkan secara emosi, bukan lagi berasaskan kebijaksanaan politik, Pas akan menerima akibatnya hasil daripada keputusan yang tidak cerdik ini.

“Adalah mustahil PKR tidak dapat menilai sendiri persahabatan mereka dengan Pas terutama di Kelantan.

“Kenyataan Mohd Amar itu sendiri jelas menunjukkan Pas tidak memerlukan kehadiran PKR di Kelantan kecuali sekadar menumpang ihsan Pas, bukan sebagai rakan politik yang diraikan,” ujar beliau.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *