Mata pemimpin Pas “buta” melihat sandiwara Umno dalam kontroversi RUU 355

KOTA KINABALU: AMANAH Sabah berasa hairan mengapa Pas begitu dangkal menghidu permainan Umno dalam isu RUU 355 sehingga mata mereka buta melihat sandiwara parti kebangsaaan Melayu itu sekalipun, reaksi para pemimpin MCA, MIC, PBS, PBB, dan GERAKAN yang begitu keras menentang rang undang-undang tersebut.

Pengerusinya, Hamzah Abdullah bertanya, kenapakah pemimpin-pemimpin Pas sedikit pun tidak rasa bersalah menyalahgunakan wang pembayar cukai pergi ke London bersama Umno, semata-mata mahu menebus maruah Presidennya, Abdul Hadi Awang yang tercalar teruk natijah daripada pembohongan dan manipulasi Umno kononnya mahu menyokong RUU355.

“Program dua orang ahli parlimen Pas ke UK itu, agenda negara atau agenda Umno-Pas? Perbelanjaan sepanjang di UK itu ditanggung oleh poket rombongan Umno-Pas atau duit atas keringat rakyat?

“Berapa ratus ribu ringgit pula yg dikorbankan jika perbelanjaan ditanggung oleh duit pembayar cukai untuk menjayakan Sessi Teh Tarik itu kononnya untuk menerangkan RUU 355?” soal Hamzah.

Terdahulu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Datuk Khairuddin Aman Razali menyifatkan AMANAH sebagai “penyapu” membersihkan imej DAP yang anti-Islam sebagai menangkis kenyataan Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad yang mendakwa penyertaan dua ahli parlimen Pas dalam program anjuran Kelab Umno Luar Negara baru-baru ini bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai usaha mambantu memulihkan tanggapan negatif terhadap BN.

Program anjuran Umno itu disertai Khairudin bersama pemimpin Pas lain, termasuk Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Mohd Izani Husin, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Muhtar Suhaili dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pemimpin Pas tahu berkenaan tentangan hebat daripada parti-parti komponen BN yang bukan Islam tetapi mereka tetap memintas dengan menjadikan DAP sebagai kambing hitamnya.

“Apakah DAP juga yang mesti dipersalahkan diatas kegagalan pelaksanaan hudud di Kelantan, sedangkan DAP tidak punya walaupun seorang wakil pun di Dun Kelantan?

“Siapa yang menggagalkan pelaksanaan hudud di Terengganu pada 1999 sedangkan tidak ada seorang pun wakil DAP dalam Dun Trengganu,” kata beliau kepada Amanahdaily.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *