Lebih banyak sumbangan diperlukan, AMANAH Kelantan buka bilik gerakan banjir

KOTA BHARU: AMANAH Kelantan telah mengambil inisitif segera melantik Naib Pengerusinya, Ustaz Che Ibrahim Mohamed sebagai Ketua Operasi Bantuan Banjir AMANAH bagi negeri tersebut yang berpusat di Pejabat AMANAH Kawasan Kubang Kerian (hadapan Istana Kubang Kerian).

Pasukan ini akan beroperasi bagi mengatur serta menjayakan semua urusan penyelarasan bantuan, makanan dan kecemasan ekoran banjir semakin teruk melanda Kelantan ketika ini.

Pada pagi semalam, Pemuda AMANAH Kelantan yang dipimpin Hazmi Hassan mula menyampaikan bantuan awal berupa Nasi Air Dingin yang ditempah khas dari Tumpat kepada mangsa-mangsa banjir.

Sasaran bantuan sarapan pagi itu, diagihkan di beberapa lokasi pusat penempatan mangsa banjir di kawasan Rantau Panjang yang kini terjejas teruk.

Sebanyak 600 bungkus Nasi Air Dingin yang popular sebagai sarapan pagi oleh rakyat Kelantan itu ditaja oleh Pemuda AMANAH Kelantan untuk mangsa banjir di Rantau Panjang.

“Jutaan terima kasih kami ucapkan buat semua penyumbang, penderma, petugas dan sukarelawan yang bersama-sama kami dalam membantu menjayakan misi bantuan awal ini,” kata Hazmi dalam akaun facebooknya.

Mereka mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk mangsa banjir kali ini yang boleh dilakukan terus melalui akaun: 553104572310 (Maybank) – Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan atau 20305360014354 (RHB) – Wanita Peduli.

Sementara itu, Hazmi memberitahu air sudah mulai meningkat sehingga mencecah paras dada dan dijangka akan menjadi lebih teruk.

“Semalam Pemuda AMANAH Kelantan sudah menggunakan bajet pemuda RM2,000 (hasil kutipan makan malam) tapi masih tak mencukupi,” kata Hazmi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *