Keangkuhan Pas makin terserlah dengan wujudnya AMANAH dipersada politik tanahair

Rakan-rakan dalam Pas perlu membuang kebencian mereka terhadap AMANAH. Ia amat mendedahkan sikap yang bertentangan dengan akhlak Islam. Sikap ini tidak membawa apa-apa manfaat.

Saya membaca kenyataan rakan saya YB Che Lah (Datuk Che Abdullah Mat Nawi), Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan yang sangat ofensif terhadap AMANAH.

Terserlah keangkuhan yang tidak sedikit. Saya sampai teringat dengan sedutan kata, “If you want test the character of a man, give him power”. YB Che Lah ini baharu sahaja jadi Exco Kerajaan Negeri, tetapi kenapa sampai jadi begitu lagak angkuhnya.

Terimalah kenyataan. Rakan-rakan dalam AMANAH hanya melaksanakan hak mereka dalam masyarakat demokratik. Dulunya mereka bersama Pas secara sukarela. Mereka berkorban macam-macam untuk parti juga secara sukarela. Masa itu mereka cukup yakin dengan perjuangan.

Tetapi, masa berubah, senario politik berubah, Pas berubah, dan pendirian mereka juga berubah. Mereka jadi hilang keyakinan dengan Pas dan bertindak keluar parti dan menubuhkan parti baru.

Bukankah ini fenomena biasa dalam masyarakat demokratik? Di mana pengkhianatannya?

Kenapa sampai jadi macam orang hilang pedoman? Digelar macam-macam, ditohmah macam-macam, dan paling jijik ialah apabila agama digunakan secara wewenang untuk menjustifikasikan sikap mereka.

Apabila wakil rakyat enggan meletak jawatan, maka itu dijadikan mantra untuk memburukkan mereka. Ya mereka pernah berbaiah, tetapi suasana ketika mereka berbaiah dengan suasana ketika mereka dicampak keluar tidak sama.

Mereka terpaksa memilih antara dua Amanah; amanah parti yang mencalonkan mereka dan amanah rakyat yang mengundi mereka. Mereka berijtihad dan memilih untuk memelihara amanah rakyat. Wajarkah mereka dituduh “pengkhianat” hanya kerana ijtihad mereka itu?

Mereka menuntut agar kerusi itu dipulangkan kepada mereka tanpa menilai secara objektif dan terperinci tuntutan tersebut. Tuntutan itu tidak rasional kerana beberapa kekangan undang-undang dan maslahah politik. Secara mudah, tuntutan itu bukan untuk berlaku adil, tetapi sekadar melepas geram.

Bagaimana sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam boleh meletakkan isu kerusi mengatasi persoalan ukhuwah dan keperluan berlaku adil.

Apabila mereka bersama Umno, mereka baca ayat Quran mengenai “wa ta’awanu”. Sikap mereka terhadap AMANAH pula, mereka merujuk ayat-ayat tentang “munafiq”.

Apabila mengulas Pakatan Harapan, mereka kupas pula tentang “Perang Ahzab”. Tentang DAP, mereka baca surah Al-Kafirun.

Agama jadi tunggangan politik mereka, memetik ayat-ayat Allah secara cuai hanya untuk agenda politik sempit semata.

Cukuplah. Kembalilah kepada akal yang waras. Sama-sama kita pelihara kemurnian agama.

>> Komentar bebas Jamzuri Ardani. Beliau adalah Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor I 4 Januari 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *