Hentikan ugutan terhadap PKR, PPBM, sebaliknya berunding elak 3 penjuru – Khalid

KUALA LUMPUR: AMANAH mengingatkan Pas supaya terus menghentikan ugutan terhadap PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan kenyataan-kenyataan kononnya akan bertanding di kerusi kedua-dua parti tersebut sekiranya mereka berkerjasama dengan AMANAH.

Tegas Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad, parti itu memandang serius reaksi Naib Presiden Pas, Dato’ Iskandar Abd Samad yang mencabar AMANAH sekiranya ingin menggantikan Pas maka AMANAH perlu bertanding sendiri melawan parti tersebut dan bukan menghantar parti lain sama ada PKR atau PPBM berbuat demikian.

“AMANAH cukup bersetuju supaya Keadilan (PKR) dan PPBM jangan dikaitkan dalam persoalan persaingan antara Pas dan AMANAH,” ujar Khalid dalam satu kenyataannya kepada Amanahdaily.

Pada 2 Januari lalu, Naib Presiden Pas, Dato’ Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataannya memberi amaran kepada parti-parti pembangkang lain untuk sama-sama berbincang mengenai kerusi pilihanraya sekiranya parti-parti lain boleh bersetuju dua penjuru, Pas sedia untuk menghormatinya.

Namun, tegas beliau, sekiranya ia tidak berlaku, Pas bersedia untuk bertanding tiga penjuru, menerokai kawasan-kawasan baru dan ‘sama-sama kita menanggung akibatnya’.

Mengulas lanjut perkara ini, Khalid berkata, AMANAH terpaksa bersedia menghadapi Pas secara tiga penjuru sekiranya parti mesra Umno itu terus berusaha memecahbelahkan Pakatan Harapan dengan hanya berunding bersama PKR dan PPBM dan menolak perundingan dengan Pakatan Harapan.

“Iskandar juga ada kata Pas akan tunggu AMANAH. Kami bagaimanapun mengharapkan Pas bersikap terbuka untuk berunding dengan Pakatan Harapan.

“Namun, sekiranya tiada perubahan pada sikap Pas maka AMANAH tidak akan menghampakan pihak yang menunggu,” tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Bagaimanapun, Khalid mengucapkan mengucapkan tahniah kepada Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor atas kesedarannya bertapa perlunya rundingan untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Katanya, inilah yang disarankan oleh Pakatan Harapan dan Parti Pribumi PPBM selama ini tetapi ianya ditolak mentah-mentah oleh Pas.

Malangnya tegas beliau, Pas terus berusaha memecahbelahkan kesatuan pembangkang dan menggagalkan rundingan dengan menolak untuk berunding bersama Pakatan Harapan.

Khalid berkata, sebaliknya Pas hanya sanggup berunding dengan PKR dan PPBM dan beliau menyeru usaha pecah-belah oleh Pas ini perlu dihentikan jika ingin mengelak dari berlakunya pertandingan tiga penjuru.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *