Banggakah kita dengan ekonomi Malaysia sehingga sanggup menempelak ekonomi Barat

Saya rasa terkilan dengan ucapan tahun baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa ekonomi negara kita berada dalam keadaan yang kukuh serta pertumbuhannya tidak boleh ditandingi oleh negara-negara yang maju.

Beliau juga memperli Amerika Utara dan negara-negara barat hanya boleh bermimpi untuk mencapai pertumbuhan ekonomi seperti Malaysia.

Saya rasa ini merupakan kenyataan yang cukup angkuh dan tidak wajar untuk dihujahkan oleh beliau.

Apa yang boleh dibanggakan dengan ekonomi negara kita? Apa yang telah kita capai lebih baik kalau dibandingkan dengan negara-negara barat dan juga Amerika?

Pertama sekali, kita semua tahu bahawa nilai matawang negara kita telah jatuh dengan begitu mendadak menyebabkan negara kita menghadapi malapetaka kewangan. Sesiapa yang ingin melancong ke negara lain pada  hari ini terpaksa berbelanja lebih.

Bagi anak-anak kita yang telah berada di luar negara untuk melanjutkan pelajaran mereka pula terpaksa bayar yuran yang lebih tinggi dan kos hidup mereka juga terus meningkat.

Ini telah menjadi beban kewangan kepada kerajaan dan juga kepada ibu bapa yang membiayai pendidikan anak-anak mereka.

Selain itu, kita juga tahu bahawa barang-barang yang kita import dari negara lain juga akan mengalami peningkatan harga. Kita terpaksa membeli barang-barang itu dengan harga yang lebih tinggi daripada negara lain kerana kejatuhan nilai ringgit Malaysia.

Di samping itu, kita juga tahu bahawa pada masa ini kita sedang menghadapi inflasi. Walaupun kerajaan tidak mengaku, tetapi itulah realitinya. Kita tahu bahawa harga barang-barang semakin meningkat terutamanya selepas kerajaan memperkenalkan GST.

Jadi, barang -barang yang dikenakan GST 6 peratus itu harganya menjadi lebih mahal dan ini telah menyebabkan pendapatan boleh guna seseorang itu menjadi semakin kecil.

Di negara kita gaji minima adalah terlalu rendah.

Sebahagian besar daripada rakyat yang menerima gaji yang kurang itu tidak mampu menanggung peningkatan kos hidup yang semakin tinggi.

Tambahan pula pada tahun 2015 lebih kurang 32 ribu orang telah dibuang kerja.

Manakala pada tahun 2016 pula, lebih kurang 50 ribu orang telah kehilangan kerja mereka. Pada masa ini dikatakan bahawa kadar pengangguran adalah 3.1 peratus dan dijangka akan meningkat kepada 3.5 peratus sepanjang  pada tahun 2017 ini.

Kadar penggangguran dan peningkatan dalam jumlah pembuangan kerja  merupakan indikator-indikator yang membuktikan bahawa ekonomi negara kita bertambah uzur.

Jika benar seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri bahawa ekonomi negara kita adalah kukuh, saya ingin tahu kenapakah sebahagian besar daripada permohonan bantuan kebajikan yang dipohon oleh rakyat miskin ditolak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Bukan sekadar itu sahaja, mereka yang telah menerima bantuan-bantuan sebelum ini juga telah dipotong dari segi jumlah ataupun dibatalkan keseluruhannya.

Baru-baru ini banyak aduan diterima berkenaan kekurangan ubat-ubatan di hospital-hospital kerajaan.

Jika dahulu, pesakit-pesakit boleh dapat bekalan ubat untuk sebulan tetapi kini kebanyakan daripada hospital hanya memberi ubatan untuk kegunaan dua minggu sahaja.

Ini menyebabkan golongan miskin terpaksa berulang alik ke hospital dengan lebih kerap untuk bekalan ubat mereka. Jadi ini menambahkan kos hidup dan mereka rasa kecewa dengan tindakan kerajaan  mengurangkan bekalan ubatan tersebut.

Selain itu, saya juga ada menerima aduan bahawa pihak hospital meminta supaya ujian darah dibuat di hospital ataupun di klinik-klinik swasta.

Kita juga tahu bahawa dalam Belanjawan 2017 kerajaan telah memotong peruntukan untuk kebanyakan daripada kementerian-kementerian.

Khasnya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan Tinggi,Kementerian Pendidikan telah dipotong sejumlah peruntukan yang besar.

Jika ekonomi negara kita adalah baik, kukuh dan stabil kenapa kerajaan memotong peruntukan dalam Belanjawan.

Saya rasa ucapan Dato Seri Najib tidak realistik dan cuba mengkaburi mata rakyat. Tetapi, saya yakin rakyat kita lebih arif menilai kedudukan ekonomi yang sebenar.

>> Komentar bebas Ahli Parlimen Batu Gajah yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak, YB V.Sivakumar I 4 Januari 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *