Sekolah ditutup, lebih 9,500 pelajar di Kelantan tak dapat ke sekolah hari ini akibat banjir

KOTA BHARU: Sebanyak 30 sekolah di daerah Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Tumpat ditutup berikutan banjir yang belum surut, jelas satu kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Kelantan malam tadi.

Katanya, penutupan semua sekolah terbabit mengakibatkan 9,501 pelajar tidak dapat menghadiri hari ketiga sesi persekolahan 2017. Ia turut melibatkan 958 guru dan kakitangan sekolah.

Daripada jumlah pelajar itu, seramai 7,746 orang dari 18 sekolah di Pasir Mas, 953 pelajar di 5 sekolah di Tanah Merah, 588 pelajar di 6 sekolah di Kuala Krai dan 214 pelajar di sebuah sekolah di Tumpat.

Sekolah di Pasir Mas yang ditutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, SK Rahmat, SK Gual Tokdeh, SK Rantau Panjang, SK Lubok Stol, SK Sri Rantau Panjang 2, SK Kok Pauh, SK Sri Rantau Panjang 1.

Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al Falah Siram, SABK Diniah Bongor, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khay Boon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Tiang Chandi, SMK Gual Tinggi, SK Kedai Tanjong, SK Bakong, SK Gual Sitok dan SMK Gual Periok.

Di Kuala Krai pula, ia melibatkan SK Pemberian, SK Bahagia, SK Ladang Taku, SK Pasir Kelang, SK Kuala Nal dan SABK Saadatul Qura.

Lima sekolah di Tanah Merah yang ditutup adalah SMK Ladang Kerilla, SK Ladang Kerilla, SK Sokor, SK Kampung Panjang dan SK Tebing Tinggi manakala di Tumpat, hanya membabitkan SK Pulau Beluru.

Penutupan semua sekolah itu adalah berikutan laluan ke sekolah ditenggelami banjir dan berbahaya kepada pelajar dan guru.

Berbanding kelmarin, sebanyak 7,011 pelajar daripada 25 sekolah rendah dan menengah di negeri ini tidak dapat menghadiri hari kedua sesi persekolahan 2017 berikutan banjir.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan melaporkan jumlah itu membabitkan lima sekolah menengah dan 20 sekolah rendah di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Tumpat.

Penutupan sekolah itu membabitkan 5,256 pelajar daripada 13 buah sekolah di Pasir Mas, 588 pelajar di enam sekolah di Kuala Krai, 953 pelajar di lima sekolah di Tanah Merah dan 214 pelajar di sebuah sekolah di Tumpat.

Seramai 788 guru dan kakitangan sekolah terlibat dengan penutupan 25 sekolah itu berikutan laluan ke sekolah ditenggelami banjir dan berbahaya.

Pihak JPN juga akan terus memantau perkembangan banjir dan akan memaklumkan kepada pelajar dan ibu bapa sekiranya sekolah terbabit sudah boleh beroperasi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *