1,000 pejuang seni tanah air bergabung peduli menjayakan “Doa Untukmu Rohingya”

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 pejuang seni tanah air termasuk artis, seniman, pelukis, pemuzik dan pemuisi bergabung pada Ahad dalam program “Doa Untukmu Rohingya” bagi menyatakan rasa prihatin terhadap krisis kemanusiaan yang melanda rakyat Rohingya di Myanmar.

Menerusi acara yang berlangsung di Laman Santai Istana Budaya itu, Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata tarikh 1 Januari 2017 dipilih bagi menyemarakkan semangat tahun baharu dengan rasa prihatin terhadap kejadian yang menimpa saudara Islam di bumi Myanmar, lapor Astro Awani.

“Program yang bersifat kemasyarakatan ini adalah himpunan rasa yang bergulir dalam diri para seniman tanah air yang turut terkesan setelah melihat apa yang berlaku di Myanmar.

“Dalam kemelut yang belum berakhir, umat Islam Rohingya dibunuh dengan kejam, dirogol, dikelar dan dibiarkan kelaparan.

“Mereka turut berduka dan menangis atas nasib yang berlaku dan mereka saudara seagama kita,” katanya.

Program yang bermula sejak 2 petang hingga hampir tengah malam itu menyaksikan pelbagai aktiviti dipersembahkan antaranya bacaan puisi serta nyanyian lagu kemanusiaan dan kerohanian.

Acara disulam dengan ucapan, pertunjukan visual dan muzik, penerangan tentang keadaan di Rakhine, nyanyian lagu keagamaan dan kemanusiaan, serta deklamasi puisi.

Lebih menarik, sejumlah 100 karya puisi hasil karya rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat telah dipilih untuk disampaikan oleh selebriti popular tanah air serta tetamu kenamaan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *