MPK tubuh pasukan siasat kes letupan bunga api di Klang malam tahun baharu

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menubuhkan pasukan siasatan bagi menyiasat sepenuhnya kes letupan di Pertunjukkan Bunga Api di Kompleks Sukan Pendamaran, di sini 1 Januari lalu.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK memohon maaf kepada mangsa dan pengunjung di atas kejadian luar jangka itu.

“Pertunjukan Bunga Api diadakan sebagai salah satu acara sempena tahun baru. Pihak Polis, bomba, pihak hospital dan pertahanan awam berada di sepanjang program tersebut dan langkah keselamatan juga diutamakan sepanjang program dijalankan.

“Bagaimanapun, berlaku letupan diluar jangkaan dan mengakibatkan kecederaan kepada 14 pengunjung iaitu terdiri daripada 10 dewasa dan empat kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Yasid berkata, MPK turut menanggung semua kos rawatan dan pemantauan susulan terhadap mangsa sehingga mangsa sembuh sepenuhnya.

“MPK memohon maaf kepada mangsa dan pengunjung yang hadir ekoran kejadian di luar jangkaan ini, walau bagaimanapun program dan aktiviti pada hari ini diteruskan seperti biasa.

“Saya juga sudah melawat semua mangsa dan mangsa menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan keluar pagi ini,” katanya.

Seramai 15,000 pengunjung di lokasi kejadian ketika Fiesta Gegar Klang berlangsung bagi menyambut tahun baru.

Mangsa dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang apabila pertunjukan bunga api sempena Sambutan Tahun Baru 2017 di Kompleks Sukan Pandamaran tidak meletup di udara.

Tujuh orang mangsa diberi rawatan oleh pegawai perubatan yang turut bersiap sedia di lokasi akibat melecur ringan.

Keadaan menjadi kelam kabut selepas bunga api yang diguna untuk pertunjukan bagi menyambut tahun baharu meletup sebelum sempat ke udara sehingga terkena penonton yang menyaksikannya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *