Jangan tergila-gila bina pencakar langit, PNB akui kesukaran perniagaan

Beberapa minggu lalu, kita memberi amaran kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) agar jangan tergila-gila mendirikan menara pencakar langit memandangkan keadaan ekonomi yang daif dan kelebihan ruang pejabat.

Kita menyebut Permodalan Nasional Berhad (PNB) secara khusus kerana ia mempunyai rancangan membina sebuah bangunan pencakar langit setinggi 100 tingkat bernama Wawasan Merdeka di ibu negara dengan belanja dianggarkan RM5 bilion.

Kebimbangan kita itu terbukti berasas apabila organisasi tunjang dalam kumpulan PNB, iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2016.

Bagi unit saham utamanya, iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) ia hanya mampu mengisytiharkan dividen 6.75 sen seunit dan bonus sebanyak lima sen seunit.

Ini adalah kadar dividen dan bonus paling rendah dalam tempoh sembilan tahun yang kebetulan bersamaan dengan jangka waktu pemerintahan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dalam kenyataan medianya, PNB mengakui bahawa 2016 berupa tahun yang mencabar. Pengukur utama pasaran saham tempatan, iaitu Indeks Komposit Bursa Malaysia-Financial Times (FBM KLCI) sehingga 30 November 2016 mencatatkan pulangan keseluruhan sebanyak 1.7 peratus sahaja – satu kadar yang sangat rendah.

PNB mengakui bahawa 2016 adalah tahun ketiga berturut-turut pasaran saham tempatan mencatatkan pulangan negatif. Maksudnya, sesiapa yang melabur di Bursa Malaysia mengalami kerugian 2014.

Inilah antara petanda sahih betapa buruknya pencapaian ekonomi negara. Kesimpulannya, pertumbuhan ekonomi yang diuar-uarkan sebagai memuaskan itu tidak memberi sebarang kesan positif kepada pasaran modal utama negara.

PNB menyebut tiga faktor yang memberi tekanan terhadap pulangan pelaburan, iaitu kejatuhan harga komoditi utama, kadar faedah simpanan yang rendah dan ketidaktentuan dalam pasaran mata wang.

Walaupun demikian, skim pelaburan ASB berjaya menjana pendapatan kasar sebanyak RM9.59 bilion sehingga 30 November 2016.

Pengagihan dividen dan bonus yang berjumlah RM10.28 bilion itu akan memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pelabur yang melanggan lebih dari 143 bilion unit ASB.

Ini bermakna purata dividen dan bonus bagi tiap seorang pemegang unit ASB ialah RM1,142 sahaja. Natijahnya, majoriti peserta skim saham amanah yang dikhaskan kepada Bumiputera itu adalah pelabur kecil.

Menurut PNB lagi, kadar dividen dan bonus itu adalah 3.45 titik peratusan lebih tinggi berbanding purata kadar faedah simpanan KLIBOR bagi tiga bulan, iaitu 3.3 peratus dan 8.45 titik peratusan lebih tinggi daripada prestasi pasaran saham. Maksudnya lebih menguntungkan melabur dalam ASB daripada menyimpan di bank atau melabur di Bursa Malaysia.

Kemungkinannya adalah untuk membayar dividen 6.75 sen dan bonus lima sen itu ASB terpaksa menggunakan sebahagian daripada rizabnya. Ini adalah kerana jumlah agihan lebih besar daripada pulangan.

Bagi tabung unit amanah harga berubah pertama, iaitu ASNB, kadar pengagihan adalah sebanyak lima sen seunit atau RM92.86 juta yang memanfaatkan 1.2 juta pelabur.

Ini bermakna dividen puratanya adalah RM7,738 seorang – jauh lebih tinggi daripada skim ASB.

Manakala harga skim ASB dijamin, harga ASNB pula naik-turun mengikut pergerakan pasaran. Ertinya ASNB berisiko, tetapi pulangannya lebih tinggi daripada ASB.

Seperti juga ASB, pengagihan ASNB melebihi pulangan. Maksudnya, sebahagian dividen datang daripada rizab. PNB tentunya tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada rizab untuk mengekalkan kadar dividen dan bonus apatah lagi ia sendiri menjangka keadaan yang tidak menentu sekarang akan berterusan tahun hadapan.

Saya yakin kepemimpinan baharu PNB yang dianggotai Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi dan Datuk Abdul Rahman Ahmad selaku Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden akan melakukan yang terbaik atau akan dikutuk sebagai pengkhianat Bumiputera.

Saya kenal kedua-dua mereka dan menaruh keyakinan terhadap keikhlasan, komitmen dan kepakaran mereka. Kita boleh memberi markah tinggi kepada prestasi mereka sebagai pengurus tertinggi GLC.

Apa yang saya khuatir adalah mereka akan ditekan oleh pihak atasan untuk melakukan hal-hal yang boleh menjejas integriti dan prestasi PNB sebagai badan amanah Bumiputera.

Kemungkinan ini tidak boleh ditolak bulat-bulat, khususnya menjelang pilihan raya umum seperti yang telah berlaku kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP/Felda) pada tahun 2012 apabila sebahagian hartanya “diswastakan” melalui penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGV). Wallahuaklam.

■ Komentar bebas Dato A Kadir Jasin. Artikel ini telah tersiar dalam Sinar Harian | 2 Januari 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *