Assad serang pemberontak, pembangkang pula pertahankan gencatan

BEIRUT: Pesawat tempur kerajaan Syria meneruskan pengeboman dan pertempuran kecil berlaku di beberapa kawasan hari ini, tetapi gencatan senjata yang dikendalikan Rusia dan Turki masih bertahan di kawasan lain.

Reuters melaporkan, pesawat mengebom kampung Kafr Kar, Mintar dan sekitar pekan Banan di pinggir Aleppo, lapor Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Pasukan kerajaan turut mara melawan pemberontak di timur Ghouta berhampiran Damsyik, menawan 10 kebun berhampiran pekan Douma, tambahnya.

Kawasan lain bagaimanapun sunyi, manakala kumpulan pembangkang tidak meneruskan ancaman menarik diri seperti yang diumumkan pada Sabtu, memulihkan harapan perang hampir 6 tahun itu akan dapat ditamatkan.

Mohammed Rasheed, jurucakap kumpulan pemberontak Jaish al-Nasr yang beroperasi di wilayah barat Hama, berkata kawasannya masih tenang.

Walaupun pertempuran kecil berlaku di Wadi Barada berhampiran Damsyik, tentera kerajaan dan sekutu sudah menghentikan serangan udara dan pengeboman, katanya.

Pada Sabtu, pemberontak memberi amaran mereka akan membatalkan gencatan senjata sekiranya kerajaan terus mencabul perjanjian antara mereka, dan memberi tempoh sehingga 8.00 malam untuk menghentikan serangan ke atas Wadi Barada.

Pengeboman dan serangan udara berakhir dalam tempoh yang ditetapkan, kata pemberontak.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *