Salahuddin azam hadkan tempoh PM, “engagement” dengan semua pihak

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berazam mahu menghadkan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri, disamping penstrukturan semula intitusi Parlimen dan peranannya serta mewujudkan badan yang berintergriti bagi menyaring perlantikan berapa jawatan utama dalam sistem pentadbiran negara.

Ini katanya termasuklah menyaring perlantikan Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara dan lain-lain, sebahagian daripada kerangka besar perubahan yang beliau maksudkan.

“Semua ini akan cuba saya usahakan secara yang terbaik melalui pengembelingan tenaga dan pemikiran bersama rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan dan Bersatu,” ujar beliau kepada Amanahdaily.

Salahuddin berkata, beliau juga akan terus berusaha meneruskan agenda “engagement” dengan tokoh-tokoh negarawan, badan-badan bukan kerajaan, bekas-bekas penjawat awam, teknokrat-teknorat dan sesiapa saja yang sudi bersama menyumbang kepada agenda perubahan untuk menatijahkan sistem tadbir urus negara yang mapan dan lestari serta jitu bagi memacu negara menjadi sebuah negara yang berdaya maju, dihormati dan bermanfaat untuk seluruh warga tanahair dan dunia keseluruhannya.

Salahuddin menyatakan azam dan komitmen perjuangannya bersama AMANAH untuk melakukan perubahan kepada Malaysia tercinta.

Hasratnya untuk melakukan perubahan besar-besaran secara berperingkat terhadap beberapa intitusi penting adalah agenda paling utama bersempena sambutan tahun baru 2017.

Tegasnya, walau siapa pun Perdana Menteri Malaysia selepas PRU14 nanti, ia tidak akan menjadi penghalang kepada agenda perubahan yang diimpikan itu.

Perubahan besar intitusi tersebut kata bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, wajib dilakukan bagi memastikan sistem bernegara baru yang mampu mengawal segala salah laku, penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran kuasa berulang kembali.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *