Rusia umum gencatan senjata di Syria mulai tengah malam semalam

MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin semalam, 29 Disember mengumumkan gencatan senjata antara kumpulan pembangkang dan kerajaan Syria mulai tengah malam.

Pihak bertelagah juga bersedia untuk memulakan rundingan damai, kata Putin, selepas Moscow, Iran dan Turki menyuarakan kesediaan untuk menjadi orang tengah dalam mencari penyelesaian kepada perang Syria yang berlarutan sejak 6 tahun lalu.

Tentera Syria mengumumkan gencatan senjata di seluruh negara tetapi militan IS dikecualikan daripada rundingan itu, lapor Reuters.

Sementara itu, jurucakap pakatan pemberontak Tentera Pembebasan Syria, Osama Abu Zaid, berkata parti politik Kurd di Syria, PYD, tidak terbabit dalam rundingan ramai yang dirancang diadakan di Astana, Kazakhstan.

Rancangan ini merupakan gencatan senjata ketiga tahun ini. Gencatan sebelum ini, yang dirundingkan oleh Washington dan Moscow, menemui kegagalan.

Rundingan kali ini tidak melibatkan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata Amerika Syarikat boleh menyertai proses damai apabila bakal Presiden Donald Trump mengambil alih pentadbiran AS bulan depan.

Rundingan gencatan senjata itu mencerminkan kerumitan perang saudara di Syria, memandangkan penglibatan kuasa asing dan pelbagai kumpulan di semua pihak.

Turki dan Rusia menyebelahi pihak berbeza dalam perang itu. Ankara mendesak pengunduran Assad, yang disokong Rusia.

Sementara itu, tuntutan agar gerakan Hezbollah meninggalkan Syria mungkin tidak akan menggembirakan Iran, yang turut menyokong Assad.

Sumber Reuters memberitahu, mengikut garis rundingan antara ketiga negara terbabit, Syria mungkin akan dibahagikan kepada zon kuasa serantau yang tidak rasmi manakala Assad akan kekal menjadi presiden untuk beberapa tahun lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *