Reformasi Kerajaan Tempatan: Libatkan lebih ramai anak muda, wanita dan OKU

Salah satu agenda utama DAP dalam konteks Pakatan Harapan Johor adalah dengan melaksanakan reformasi ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini akan dilakukan apabila Pakatan Harapan berjaya mengambil alih pentadbiran dan kuasa negeri Johor kelak.

Langkah ini amat penting untuk memastikan agenda pembangunan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan telus menerusi sistem penyampaian yang lebih efisien dan berkesan.

Rangka reformasi PBT ini harus dimulakan dengan penstrukturan semula dasar pelantikan ahli majlis kerajaan tempatan di semua PBT negeri Johor.

Dasar yang diguna pakai hari ini sudah lapuk dan tidak memberi banyak hasil yang positif. Ia sekadar mengekalkan status quo dari segi politik dan pentadbiran.

Ini menyebabkan potensi Pihak Berkuasa Tempatan baik Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya tidak dapat dicapai dengan lebih cemerlang lagi.

Selain daripada itu, norma dan sikap ahli majlis dari pentadbiran hari ini (lama), lebih cenderung bekerja secara terpilih, untuk manfaat politik dan parti yang sempit dan tidak terbuka.

Ini menjejaskan harapan masyarakat untuk mendapat perkhidmatan yang sempurna dari pihak ahli majlis dan PBT.

Manakala pihak PBT pula menerima kesan apabila perancangan pembangunan di setiap zon, daerah dan kawasan tidak mencapai maksud yang sepenuhnya hingga menjejaskan keyakinan masyarakat kepada PBT itu sendiri.

Justeru itu, dasar baru yang kita tawarkan akan lebih memberi fokus kepada tenaga dan idea baru yang berdaya saing dalam aspek pendekatan sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada masyarakat atau pengguna.

Secara asasnya, kita akan menawarkan rombakan polisi agar ahli majlis yang dilantik haruslah diisi oleh lima puluh peratus generasi muda, berusia bawah umur 35 tahun yang berkebolehan dan anak tempatan.

Dan satu pertiga dari jumlah keseluruhan ahli Majlis di setiap PBT ini haruslah diisi oleh kaum wanita tempatan, yang berkebolehan.

Manakala langkah ketiga, melantik sekurang-kurangnya seorang wakil dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai ahli majlis di setiap PBT di negeri Johor.

Dalam aspek PBT, ketiga-tiga mekanisme ini membolehkan reformasi institusi ahli majlis di mulakan diperingkat awal.

Melalui fasa perubahan ini, ahli majlis akan diwakili oleh kumpulan yang lebih seimbang dan menyeluruh, mewakili demografi sosial setempat. Ini juga akan mengelak risiko wujudnya golongan dan kawasan tertentu yang terabai

Ini membolehkan PBT mendapat suntikan baru dengan impak yang lebih positif menerusi tenaga dan idea baru di kalangan generasi muda, wanita dan OKU.

Dalam aspek urus tadbir di lapangan, ini akan membuka peluang dan ruang yang lebih besar kepada golongan tersebut untuk mengambil bahagian dalam pembangunan tempatan.

Golongan muda, wanita dan OKU akan lebih cenderung untuk menjadi lebih terbuka serta proaktif dalam mencari pendekatan baru dan kreatif untuk mencapai sesuatu objektif dan responsif dalam menjawab, menyampai dan menangani isu-isu semasa di peringkat tempatan.

Peranan golongan ini dalam menggerakkan pembangunan tempatan yang lestari ketika ini amat kritikal. Lambakan mahasiswa yang tidak berpeluang memain peranan dalam khususnya di sektor awam adalah kerugian yang besar kepada masyarakat.

Selain itu, di Malaysia ketika ini, penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan adalah sekitar 52.4 peratus pada 2013. Ini lebih rendah berbanding purata global, iaitu 55 peratus pada 2013.

Manakala Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) Wanita di Johor yang terkini (2016) hanya mencatatkan sekitar 50 peratus.

Manakala penyertaan OKU dalam sektor awam, khususnya PBT amat berkurangan dan hingga kini belum ada mekanisme konkrit untuk meningkatkan penglibatan mereka.

Golongan OKU ini sememangnya amat peka kepada keperluan kumpulan mereka dalam masyarakat.

Justeru, reformasi ini amat signifikan dalam memperkasa golongan muda, OKU dan wanita malah PBT sendiri.

Johor perlu ke depan dalam membuat pembaharuan. Polisi lama pelantikan ahli Majlis, perlu diubah dan diganti dengan polisi baru yang lebih berdaya saing demi meningkatkan mutu perkhidmatan PBT kepada masyarakat.

■ Komentar bebas oleh Mahdzir Ibrahim, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor dan artikel ini sudah disiarkan portal Roketkini | 30 Disember 2016.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *