Hamidah harap Pakatan Harapan beri kerusi boleh menang kepada PPBM

Dato Hamidah Othman, Naib Presiden PPBM

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meminta Pakatan Harapan (PH) untuk tidak memungkiri janji yang telah dicapai sewaktu menandatangani persefahaman pada awal Disember lalu bersabit soal pembahagian kerusi.
Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, dengan komitmen tersebut, pihak partinya akan berpegang kepada terma yang telah dipersetujui bersama.

“Saya berpegang kepada perjanjian yang ditandatangani oleh semua pemimpin termasuklah Datuk Seri Dr Wan Azizah dan semua, jadi saya berpegang teguh kepada prinsip itu bahawa apa jua kerusi akan dirundingkan dalam jawatankuasa, seperti yang kita persetujui, kerusi akan diberi mengikut kebolehmenangan,” katanya.

AntaraPos melaporkan, reaksi itu diberikan beliau ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang membayangkan parti itu enggan memberi komitmen menyerahkan kerusi mereka kepada PPBM bagi membolehkan ia bertanding pada PRU14.

Azizah dipetik sebagai berkata, PKR mahupun PH perlu menjaga hubungan sesama parti komponen yang lain dalam isu pembahagian kerusi membabitkan PPBM.

Justeru bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng itu berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak membincangkan isu kerusi di luar dari meja perbincangan.

Minggu lalu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan kesediaan partinya untuk menyerahkan kerusi kepada PPBM, selepas termeterainya muafakat politik antara parti itu dan PH.

Ujar Azmin, ‘kekuatan’ PKR pada hari ini adalah disebabkan kesediaan rakan-rakan pembangkang pada suatu ketika dahulu menyerahkan kerusi kepada mereka.

Reaksi Azmin itu menyusul selepas Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakan-rakan pembangkang memberi kerusi untuk partinya bertanding dalam PRU14 nanti.

Muhyiddin juga berkata, perjanjian PPBM dengan PH akan menjadi sia-sia, jika tiada kerusi diberikan kepada mereka untuk bertanding kelak.

Untuk rekod, PH dan PPBM menandatangani perjanjian persefahaman pada 13 Disember bertujuan meletakkan seorang calon saja mewakili gandingan berkenaan.

Perjanjian itu antara lain memutuskan sebarang kerusi yang akan diwakili gandingan calon PPBM dan PH perlu ditentukan menerusi jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *