AMANAH putus kerusi di meja rundingan, tidak timbul soal ‘mencuri’

KUALA LUMPUR: AMANAH membidas Naib Presiden Pas, Dato Iskandar Abd Samad yang mendakwa parti Islam generasi kedua itu cuba “mencuri” kerusi milik PKR untuk ditandingi pada PRU14 tidak lama lagi.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad, jumlah 40 kerusi yang disyorkan beliau sebelum ini, adalah berdasarkan kekuatan yang ada pada AMANAH sebagai parti baharu yang tidak mempunyai kerusi yang ditandinginya dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Tidak timbul isu “mencuri” kerusi kerana syor AMANAH akan diakhiri pada meja rundingan Pakatan Harapan.

Ia juga katanya, mengambil kira strategi yang dicadangkan di mana setiap parti ditentukan negeri untuk dipimpinnya dan ini mungkin akan menyebabkan sedikit pengubahsuaian agihan kerusi antara parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Itulah sebabnya ianya perlu dibincang bersama dalam mesyuarat Pakatan Harapan dan PPBM,” tegas beliau dalam satu kenyataannya membetulkan sindiran Iskandar.

Semalam, Iskandar menuduh AMANAH sebagai parti yang tidak amanah apabila berhasrat untuk “mencuri” kerusi rakan komponennya PKR, selain kawasan tradisional PAS pada PRU14 akan datang.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, ini bermakna dengan sendirinya Amanah sudah menunjukkan sikap sedangkan parti itu bersama PKR dalam Pakatan Harapan tetapi sekarang mereka hendak mencuri kerusi PKR.

“Segala apa yang kami (Pas) katakan sebelum ini tentang Amanah adalah benar.

“Sebab itu kami panggil PAN, bukan Amanah. Kalau duduk dalam pakatan pun hendak curi kerusi, saya tak mahu komenlah,” katanya pada sidang media Pas di ibu pejabat parti itu.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, oleh kerana ianya akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat, maka istilah “mencuri” tidak sesuai dirujuk dalam kes ini.

Istilah “mencuri” kata beliau, adalah sangat sesuai untuk kisah seperti di Kota Damansara pada PRU13 lalu, apabila pada masa itu Pas melanggar keputusan yang dibuat bersama dan “mencuri” kerusi PKR.

AMANAH tidak akan berkelakuan seperti itu, tegas beliau.

Khalid berkata, Pas tidak perlu risau mengenai AMANAH berbalah dengan PKR berhubung dengan rundingan kerusi.

AMANAH, PKR, DAP dan PPBM tegasnya, akan sentiasa berbincang untuk mencapai persetujuan tanpa perbalahan.

“Namun demikian teguran dari YB Iskandar diterima oleh kami dengan hati terbuka. InsyaAllah hubungan kami dalam Pakatan Harapan dan PPBM tidak akan terjejas atas sebab kerusi.

“Kami mengutamakan matlamat mengalahkan BN dan oleh itu usaha mengukuhkan Pakatan Harapan dan PPBM akan sentiasa diutamakan berbanding isu kerusi,” tegas Khalid lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin menyifatkan, tuntutan Amanah untuk bertanding di 40 kerusi Parlimen pada PRU14 masih belum muktamad.

Jelasnya, agihan kerusi sesama pembangkang masih belum dibincangkan secara menyeluruh dan terperinci antara PKR, DAP, AMANAH termasuk PPBM.

“Yang itu masih belum dirunding secara teliti dilakukan, jadi masing-masing boleh menyatakan pandangan mereka selagi ia belum dibawa ke meja rundingan,” katanya kepada Antarapos.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *