Skandal seperti 1MDB gagal diurus selagi institusi Peguam Negara tidak dirombak

KUALA LUMPUR: Institusi Peguam Negara yang mempunyai kuasa budi bicara mutlak untuk memulakan prosiding pendakwaan atau tidak mendakwa sesiapa atas sesuatu kesalahan, perlu dirombak dan Peguam Negara mesti bertanggungjawab di Parlimen atas segala keputusan yang diambil olehnya yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Untuk itu, tegas Pengerusi Biro Kanun AMANAH Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan perlulah dipinda supaya kes-kes yang melibatkan maruah negara dan kepentingan rakyat terbanyak seperti skandal 1MDB dapat diadili dengan seadil-adilnya dan pesalahnya didakwa di mahkamah, sepertimana yang sedang dilakukan oleh negara-negara lain yang lebih bermaruah dengan sistem perundangan penuh integriti.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat tersebut bukanlah mudah kerana rakyat harus bangkit membuat perubahan besar dalam PRU15 tusak lama lagi dengan menumbangkan kerajaan yang zalim dan menindas rakyat.

“Hanya dengan perubahan itulah maka reformasi menyeluruh sistem perundangan dan kehakiman negara dapat dipulihkan sebaiknya dan keadilan dapat ditegakkan,” ujar beliau ketika dihubungi Amanahdaily.

Ahmad Zamri berkata, skandal 1MDB yang sudah menjadi bualan masyarakat antarabangsa pada masa ini telahpun menyaksikan sekurang-kurangnya tiga negara mengambil tindakan undang-undang berhubung “money laundering” berjumlah berbillion Ringgit Malaysia.

Di Singapura sahaja katanya, dua buah bank telahpun diarahkan oleh kerajaan Singapura untuk ditutup dan tiga orang pegawai bank yang terlibat dengan skandal 1MDB ini didakwa, dibicara dan dipenjarakan.

Ironinya, jelas bekas calon Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa itu, di Malaysia yang merupakan tanah kelahiran skandal kewangan terbesar di dunia ini, masih tidak kedengaran lagi apa-apapun tindakan undang-undang yang diambil terhadap pelaku-pelakunya.

“Jho Low, Riza Aziz dan Najib Razak yang terpalit dengan skandal raksasa ini masih terus disucikan oleh sistem perundangan yang tempang walaupun bukti-bukti yang dihidangkan di mahkamah luar negara sudah terlalu jelas dan nyata.

“Bukan sahaja masih tiada sebarang pendakwaan dibuat, malah siasatan pun telah dihentikan oleh pihak berkuasa!” beritahu beliau.

Nama-nama mereka, ujarnya, masih terus disucikan tanpa sebarang pendakwaan dari Peguam Negara dan mereka masih terus bergerak ke sana sini tanpa rasa bersalah sedikitpun, malah tanpa rasa malu menggunakan harta dan kenderaan kerajaan yang dibayar dengan duit pembayar-pembayar cukai.

“Di saat kita menyaksikan pesalah-pesalah kecil, mencuri setin milo, pakaian, susu anak dan barangan sekolah anak di pasaraya dihukum dan dipenjarakan,” kata beliau lagi.

Di saat pesalah-pesalah rasuah ikan bilis yang menerima imbuhan ratusan ringgit digantung tugas, dibicara dan dihukum oleh mahkamah, tegas Ahmad Zamri, pelaku-pelaku rasuah mega berbillion ringgit duit rakyat ini masih terus bebas tanpa dibawa pun ke muka pengadilan.

Menurut beliau, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa rakyat perlu menuntut reformasi perundangan yang menyeluruh dalam negara supaya keadilan bukan sahaja dilakukan tetapi mestilah dapat dilihat dilakukan oleh pihak berkuasa dan mahkamah (justice must not only be done, but must be seen to be done).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *