Rohingya, Aleppo sengsara, hentikan keganasan tingkatkan bantuan!

Mutakhir ini di penghujung 2016, isu-isu konflik kemanusiaan meledak. Tragedi penghapusan etnik di Myanmar. Bencana kemanusiaan yang menyebabkan terbunuhnya ratusan ribu warga Aleppo di Syria. Tambah menggusarkan lagi masyarakat dunia adalah kejadian pembunuhan Duta Russia ke Turki 19 Disember lalu.

Sudah mafhum bahawa masalah penganiayaan melalui pelbagai kaedah pembunuhan, pengusiran telah dilakukan sejak puluhan tahun lalu ke atas umat Islam Rohingya.

Turut tertekan adalah minoriti Kristian, suku Karen di Wilayah Utara.

Pada tahun 2012, saya sendiri telah menulis kepada Aung San Suu Kyi menggesa beliau membantu meleraikan keadaan. Seandainya beliau tidak mampu mengemukakan penyelesaian ketika itu; sekurang- kurangnya rakyat dan dunia mengharapkan satu kenyataan meminta dihentikan keganasan ke atas minoriti Rohingya, Karen dan lain-lain.

Malangnya, ia tidak berlaku dan menghampakan daripada seorang yang dikenali sebagai pejuang hak asasi.

Kini, Malaysia dan ASEAN telah muncul dengan lebih jelas menuntut penyelesaian yang adil. Kami menyokong inisiatif tersebut dan mendesak Malaysia dan ASEAN agar lebih tegas menuntut agar dihentikan kezaliman. Kenyataan ASEAN setakat memulakan ‘perbincangan’ mengenai isu ini agak lewat 30 tahun.

Maka desakan tegas perlu diutarakan bagi menghentikan keganasan dan meningkatkan bantuan kemanusiaan.

Bencana kemanusiaan yang melanda Aleppo terjadi ketika tragedi penghapusan etnik Rohingya masih belum menemui jalan penyelesaian. Tragedi yang melanda Aleppo adalah natijah daripada perang saudara Syria yang bermula sejak tahun 2011. Apa yang bermula sebagai protes secara aman yang menuntut demokrasi dan kebebasan bertukar menjadi konflik bersenjata apabila rejim Bashar Al-Assad bertindak menyuraikan protes secara ganas.

Perang saudara yang berlaku di Syria ini juga telah menyebabkan berlakunya krisis pelarian perang. Ini menambahkan lagi kesedihan dan simpati daripada masyarakat dunia.

Begitulah lumrah konflik bersenjata dan perang saudara di dunia ini. Yang menjadi mangsa dan yang paling menderita adalah rakyat jelata dan orang awam yang tidak berdosa.

Dengan ini, tragedi yang berlaku di Aleppo harus ditangani dengan semangat dan nilai kemanusiaan. Saya khuatir tindakan keras mana-mana pihak akan memburukkan lagi keadaan.

Oleh itu resolusi penyiasatan dan pendakwaan antarabangsa jenayah-jenayah perang di Syria yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu adalah langkah yang tepat. Apa yang diharapkan adalah bencana kemanusian seperti yang berlaku Aleppo tidak akan berulang lagi.

Kejadian pembunuhan Duta Russia ke Turki, Saudara Andrey Karlov, adalah suatu tragedi yang amat dikesali. Apa yang telah berlaku kepada Saudara Andrey Karlov amat menyalahi Konvensyen UN Mengenai Hubungan Diplomatik 1961. Maka saya amat mengalu-alukan siasatan bersama Turki/Russia mengenai kejadian ini. Ini merupakan langkah pertama dalam usaha menjernihkan keadaan dan mengelakkan konflik.

Dalam menghadapi detik-detik sukar ini, saya menyeru agar semua pihak berpegang teguh terhadap nilai-nilai kemanusiaan. Konflik harus dielakkan serta segala tindakan dan langkah yang mahu diambil harus bermatlamatkan keamanan sejagat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail

Ketua Pembangkang, Parlimen Malaysia
Presiden Parti Keadilan Rakyat

27 Disember 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *