Tanah runtuh, banjir kilat di Cameron Highland mengapa hujan dipersalahkan – PSM

Hujan yang lebat di Cameron Highlands pada hari Krismas menyebabkan banjir kilat di sekitar Padang Tanah Rata [Padang Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH)], tanah runtuh di Jalan Ringlet-Tanah Rata, tanah runtuh di kawasan Rumah Peranginan Sharples TNB di Tanah Rata dan air terjun yang melimpah ke jalanraya di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.

Cuaca di bumi sedang berubah dan tidak lagi mengikut trajektori yg diramalkan akibat pembebasan melampau gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO2) dan methane (CH4). Perkara ini diketahui sejak permulaan dekad ini.

Maka menuduh hujan lebat sebagai punca banjir di Cameron Highlands tidak lagi berasas terutamanya apabila alasan ini diguna oleh ahli politik dan elit pemerintah untuk menjustifikasi kejadian semalam.

Taburan hujan pada 25 Disember 2016 ialah 101.0 mm, merupakan salah satu taburan hujan harian yang tinggi; tetapi bukankah taburan hujan sebegini sudah dilihat ketika banjir kilat tahun 2013 dan 2014? 2 tahun sudah berlalu tetapi pentadbiran daerah dan keadaan alam sekitar Cameron Highlands masih dalam “race to the bottom”.

1. Penolakan hutan dan pertanian tidak mesra alam; menyebabkan sungai cetek.

Lihat warna air yang membanjiri Padang Tanah Rata dan air terjun yang melimpah di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley. Warna seperti ‘teh tarik’ menunjukkan penolakan hutan di hulu sungai masih berlaku.

50 peratus Tasik Ringlet (Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar) masih dipenuhi dengan tanah (silt) dan Tenaga Nasional Berhad membelanjakan RM40 juta setiap tahun untuk mengeluarkan tanah ini (Utusan Online – 1 Oktober 2016). Dari mana datangnya tanah ini? Jawapan kami ialah semestinya dari hulu sungai di mana kerja-kerja penolakan tanah masih berlaku. Contohnya, sepanjang jalan Simpang Pulai-Blue Valley, terdapat satu kebun sayur yang tidak diketahui besarnya dibenarkan dibuka di puncak kawasan pergunungan! Kami mendengar khabar bahawa kebun ini masih sedang berkembang!

Bagaimanakah hutan dibenarkan ditolak walaupun terdapat undang-undang yang menghalang pembukaan hutan di kawasan yang ketinggiannya lebih 1000 meter dan melebihi kecerunan tertentu?

Apa sudah terjadi dengan penanaman semula hutan? Pertanian tidak mesra alam pula wujud akibat motif politik Kerajaan Pahang mengamal polisi pemberian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada kebanyakkan petani di ameron Highlands. Oleh sebab itu, petani tidak mengambil berat dan tidak berani melabur ke atas masalah hakisan tanah pertanian yang masuk ke dalam sungai. LPS digunakan sebagai alat untuk menakutkan petani kerana LPS adalah lessen yang diperbaharui (atau boleh dibatal/diubah) setiap tahun oleh Kerajaan Pahang.

2. Ketamakan segolongan kecil (1 peratus) di Cameron Highlands.

Projek-projek pembinaan di Cameron Highlands tidak mementingkan alam sekitar dan sosio-ekonomi 99 peratus daripada rakyatnya. Pembangunan tanah di Cameron untuk 15 tahun yang akan datang tertumpu pada komersil (83 peratus), diikuti perumahan (22 peratus) dan struktur awam (4 peratus). Fakta ini diperoleh dari Draf Rancangan Tempatan Cameron Highlands 2030 (DRTCH 2030).

Bangunan komersil seperti hotel, pejabat & ruang perniagaan dibina di atas rizab sungai dan rizab jalan. Struktur-struktur komersil ini dibenarkan beroperasi tanpa memiliki tempat letak kereta yg mencukupi, tanpa sistem saliran air yg baik & penyuraian trafik yg sangat lemah. Kesesakan lalulintas & banjir kilat jelas menunjukkan kelemahan ini.

Projek-projek perumahan ‘tidak mampu milik’ yang tumbuh bagai cendewan selepas hujan di kawasan bandar hanya memburukkan keadaan. Faktor lokasi yang strategik membolehkan pemaju jual rumah-rumah ini dengan harga yang tinggi berbanding nilai sebenarnya. Harga rumah paling rendah di PR1MA di Cameron Highlands pun RM120,000!

Bagaimanakah kem askar di tengah bandar Brinchang boleh dijual kepada syarikat swasta untuk pembangunan komersil tetapi tidak pula dibangunkan sebagai tapak pasar malam atau tempat letak kereta?

Kami percaya sekumpulan kecil penduduk (1 peratus) Cameron adalah penyebab kemusnahan alam sekitar di Cameron Highlands. 1 peratus bermakna 400 orang daripada 40,000 penduduk Cameron Highlands (bilangan penduduk diperolehi dari DRTCH 2030).

3. Kemusnahan alam sekitar oleh dan kewujudan penduduk miskin bandar di Cameron Highlands.

Terdapat sebuah kampung Melayu di Brinchang yang pada asalnya merupakan kawasan pilihan penempatan bagi mereka yang kurang berupaya menyewa/membeli rumah di sekitar Tanah Rata dan Brinchang. Kebanyakkan daripada mereka berasal dari kaum Melayu, tetapi terdapat juga rumah yang didirikan oleh kaum India dan Orang Asli. Kebanyakkan rumah di sini didirikan tanpa mendapatkan kelulusan agensi kerajaan.

Perkampungan ini bertambah besar melalui peredaran masa. Apabila hujan lebat turun, banjir kilat berlaku dengan cepat di kawasan ini kerana sistem saliran air yang lemah.

Mengapakah perkampungan sebegini wujud? Golongan berpendapatan sederhana/rendah tidak mampu untuk menyewa (lebih kurang RM800 sebulan) atau membeli rumah di Tanah Rata/Brinchang.

Pengagihan kekayaan sesama kaum Melayu (termasuk di Cameron Highlands) hanya tertumpu kepada segolongan elit. Proses ini telah bermula sejak polisi ‘Dasar Ekonomi Baru’ (DEB) diperkenalkan pada tahun 1971. Golongan elit ini sangat berkait-rapat dengan kuasa pemerintah iaitu Barisan Nasional-Umno (BN-Umno).

Purata pendapatan sekeluarga Melayu di Malaysia pada tahun 2015 ialah RM5,600. Tetapi nilai ini tidak dinikmati oleh kebanyakkan isi rumah, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar seperti Cameron Highlands.

Kami pernah mendapat satu kes di Pusat Khidmat PSM di mana seorang Makcik Melayu yang tidak pernah berpeluang memiliki apa-apa rumah atau tanah walaupun beliau dilahirkan dan membesar di Cameron Highlands. Tetapi Makcik ini tidak sanggup untuk berjuang kerana takut dilabel sebagai penyokong parti pembangkang. Makcik ini juga takut akan kehilangan sedikit ganjaran-ganjaran kecil yang diberikan oleh BN-Umno.

Jadi untuk siapakah yang dikatakan ‘pembangunan’ ini tertumpu? Adakah lebih banyak hutan dipotong untuk membina rumah untuk golongan miskin bandar? Adakah lebih banyak hutan ditolak untuk memberikan keluarga-keluarga miskin di Cameron mengusahakan kebun sayur 2 ekar sekeluarga?

4. Apakah penyelesaiannya?

Kenapakah agensi kerajaan di Cameron Highlands, peringkat negeri Pahang dan persekutuan gagal membendung isu ini? Adakah syarikat atau golongan 1 peratus ini mempunyai pengaruh yang sangat tinggi sehingga polisi-polisi pembangunan di Cameron Highlands dibuat supaya memenuhi kehendak mereka?

Ini bukan tuduhan, kerana insiden seperti banjir kilat Lembah Bertam (tahun 2013 & 2014) terus berulang. Apakah punca insiden banjir di bandar Brinchang dan jambatan runtuh di Kuala Terla pada Mei 2016?

Banjir kilat ini tidak akan berhenti selagi kuasa membuat keputusan tidak dicairkan kepada rakyat (penduduk CH).

Cadangan kami untuk memperbetulkan kemusnahan alam sekitar ini ialah:

1. Mewujudkan pilihanraya kerajaan tempatan bagi memilih Ahli Majlis Daerah Cameron Highlands. Ahli Majlis buat masa sekarang dipilih dari parti pemerintah dan kebanyakkan keputusan yang dibuat oleh Ahli Majlis ini hanya sebagai ‘rubber-stamp’ atau untuk menjaga kepentingan perniagaan & peribadi mereka. Cameron Highlands memerlukan Ahli Majlis yang bebas, tidak berkepentingan sendiri, telus dan berfikiran pro alam sekitar dan rakyat.

2. Mengishtiyarkan ‘eco-emergency’ di Cameron Highlands; di mana semua pembukaan hutan, penolakkan tanah dan; pembinaan struktur komersil dan kerajaan yang baru diberhentikan untuk dikaji semula. Kajian semula ini perlu dibuat oleh satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil jabatan kerajaan, NGO alam sekitar, organisasi penduduk Cameron Highlands dan parti-parti politik. Keputusan jawatankuasa ini harus diumum kepada rakyat dan tidak boleh diubah oleh mana-mana pihak.

Ini adalah dua langkah yang akan mencairkan kuasa eksekutif segolongan kecil pentadbir dan individu di Cameron Highlands kepada kumpulan yang lebih besar dan lebih ‘diversified’.

Selagi golongan 1 peratus membuat keputusan, selagi itulah Cameron Highlands akan menuju kepada kehancuran!

■ Komentar bebas Setiausaha PSM Cawangan Cameron Highlands, Suresh Kumar B | 27 Disember 2016.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *