Mahfuz bidas Pas, strategi politik ‘makan keliling’ pasti membawa padah

Kenyataan rasmi terbaru yang dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan kemudiannya disokong oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bahawa “PAS bersedia untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan campuran selepas PRU14 akan datang adalah suatu kenyataan yang mengelirukan.”

Dalam kenyataan Datuk Dr Mahfodz Mohamad kepada FMT beliau berkata, “Sekarang ini PAS bersendirian dan PAS hanya dengan Ikatan dalam blok ketiga pembangkang, jadi kalau keputusan pilihan raya umum nanti gabungan itu yang menguntungkan PAS, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan parti lain termasuk BN.”

Kenyataan terbaru ini merupakan lanjutan dari kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 3 Dis 2015 di Masjid Pengadang Baru, Kuala Terangganu yang membawa maksud yang sama dengan kenyataan Dr Mohd Zuhdi Marzuki menimbulkan persoalan besar di minda rakyat yang semakin hari semakin tidak jelas ke arah manakah sebenarnya haluan parti yang pernah dianggap sebagai parti pembangkang utama di negara ini.

Dalam keadaan rakyat Malaysia yang semakin mengharapkan perubahan kerajaan dan garis pertentangan politik yang semakin ketara dan tajam di antara BN dan Pakatan Harapan dan PPBM, strategi PAS yang cuba ‘makan keliling’ akan hanya menyebabkan PAS dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

POLITIK TAK TENTU HALA DITOLAK RAKYAT DAN AHLI PAS

Saya percaya rakyat dan ahli PAS akan menjarakkan diri dari PAS apabila menyedari PAS hanya berkehendakkan undi mereka untuk dijadikan ‘alat tawar menawar’ dengan mana-mana pakatan politik yang menang.

Saya juga merasakan baik BN mahu pun blok pembangkang PH dan PPBM setelah memperhalusi pengumuman ‘strategi’ daripada PAS ini, tidak terlalu naif untuk merelakan diri mereka berada pada posisi lemah untuk bergantung kepada PAS bagi membentuk kerajaan.

Budaya politik tak tentu hala PAS sudah pasti akan dijadikan panduan kepada kedua-dua blok politik untuk menentukan apakah sikap mereka terhadap PAS dalam menghadapi PRU ke 14.

Dengan pengumuman sedemikan, secara tidak langsung menunjukkan PAS telah mengakui bahawa ianya bukan lagi sebuah parti pembangkang yang selama ini menentang kebobrokan dan penyelewengan kerajaan UmnoBN.

Malah sudah sanggup dan bersedia untuk sama-sama membentuk kerajaan dengan UmnoBN walaupun kenyataan Presiden PAS, YB Datuk Seri Hj Abd Hadi Awang yang PAS akan menentang UmnoBN dalam PRU14 nanti, tetapi kenyataan tersebut tidak menafikan strategi makan keliling termasuk untuk membentuk kerajaan campuran dengan UmnoBN selepas PRU14 nanti.

Saya yakin penerimaan majoriti ahli dan penyokong PAS tidak senang terhadap pernyataan sikap terbaru PAS ini sebagaimana yang diumumkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan disokong pula oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Apa yang jelas, kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS dan Dewan Ulamak Pusat ini jelas menjadikan kenyataan Naib Presiden PAS, YB Ustaz Idris Ahmad bahawa PAS akan masuk bertanding PRU14 sebagai pembangkang dan tidak akan membentuk kerajaan bersama UmnoBN sebagai satu kenyataan terpinggir dan pandangan minoriti di dalam PAS.

Saya tidak pasti adakah sahabat saya YB Ustaz Idris Ahmad berani melawan arus untuk menyanggah kenyataan Zuhdi dan Ketua Dewan Ulamak ini.

PAS MENERIMA AMANAH DAN DAP PASCA PRU14

Seperkara lagi, jika PAS juga bersedia untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan dan PPBM, kenapakah pada masa yang sama pemimpin-pemimpin PAS berulangkali menyatakan bahawa PAS tidak akan sama sekali sanggup bekerjasama dengan parti AMANAH dan DAP atau mana-mana parti lain yang bersekongkol dengan AMANAH dan DAP?

Ini juga akan membentuk pesepsi menunjukkan sikap PAS yang ‘tak tentu hala’ hingga menghilangkan kewibawaan PAS sebagai parti Islam.

Oleh sebab itu saya menyeru kepada pucuk pimpinan PAS supaya PAS menentukan sikap yang jelas dari sekarang, samada ingin bekerjasama dengan Umno dan BN atau bekerjasama dengan PH dan PPBM atau hanya mengukuhkan kedudukan sebagai ‘kuasa ketiga’ melalui kerjasama dengan Parti Ikatan.

Budaya politik tak tentu hala dan strategi politik ‘makan keliling’ ini, apatah lagi apabila ianya dihebahkan secara terbuka adalah satu langkah politik yang amat amatur, akan hanya menghakiskan keyakinan rakyat kepada PAS terutama sekali di kalangan rakyat yang menentang kepimpinan UmnoBN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

■ Komentar bebas Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga bekas Naib Presiden Pas, Dato Mahfuz Omar | 25 Disember 2016.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *