AMANAH mahu MB Johor beri penjelasan isu yang dibangkit Presiden Peka

KUALA LUMPUR: Isu penahanan Presiden Pelindung Khazanah Alam Sekitar Malaysia (Peka), Sharifa Sabrina Syed Akil yang dikatakan menghina Sultan Johor melalui catatan facebook yang mendedahkan aktiviti pembalakan di tanah yang dipercayai milik Sultan harus diselesaikan melalui semangat perlembagaan dan undang-undang bukannya diambil kesempatan dari sudut yang sengaja dipersempitkan oleh pihak-pihak tertentu.

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataannya kepada pihak media hari ini.

Tegasnya, Menteri Besar Johor, Dato Khalid Nordin mesti tampil segera memberikan penjelasan kepada umum apa yang didedahkan oleh Presiden Peka dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kemusnahan alam sekitar sekiranya benar apa yang didedahkan.

Beliau berkata, Raja Berperlembagaan tidak akan melanggari keluluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang menjamin kesaksamaan setiap rakyat di negara ini.

Raja Perperlembagaan juga ujarnya, akan menaungi seluruh rakyat, mempertahankan rakyat dan seluruh negara.

“Saya seperti rakyat Malaysia yang lain akan terus mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu melalui konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang serta akan memastikan ia terus terpelihara dengan kukuh dalam perlaksanaanya,” tegas Salahuddin.

Menurut beliau, perjuangan mana-mana pihak demi keadilan untuk rakyat dalam apa jua isu sama ada isu tanah, alam sekitar dan sebagainya juga adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

Oleh kerana negara memproklamasikan “no one is above the law” kata bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu , maka beliau juga akan berjuang mempertahankan prinsip ini.

Untuk rekod, kedudukan Raja-Raja Melayu adalah perkara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Mempertahankan Perlembagaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab Raja-Raja dan seluruh rakyat negara ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *