Pakatan Harapan Sabah desak SPRM dedah perkembangan kes Ops Water

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan Sabah mendesak SPRM negeri memberikan penjelasan tentang perkembangan hasil siasatan skandal rasuah yang melibatkan dua pegawai Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud, sepucuk surat berkenaan tuntutan ini telah diserahkan kepada Pengarah SPRM negeri, Dato Shahrun Nizam Abdul Manap di pejabat beliau dekat sini, semalam.

Bersama beliau menyampaikan surat tersebut ialah AJK AMK Sabah, Razeef Rakimin; Setiausaha dan Penolobg Setiausaha AMANAH Sabah, Asrsf Sharafi dan Ammy Ak Nila.

Katanya, maklumat terakhir yang diumumkan SPRM melalui Timbalan Pesuruhhaya (Operasi), Dato Azam Baki yang menyebut Ops Water masuki fasa terakhir siasatan dan selepas dari itu, tiada sebarang informasi mengenai perkembangan kes berkenaan.

Sementara itu, Razeef pula berkata, kenyataan terakhir mengenai individu yang terlibat dalam skandal rasuah RM 3.3 billion ini adalah pada bulan Oktober lalu.

Sebelum ini, Malaysiakini bertarikh 26 Oktober 2016 bertajuk ‘Kes Seleweng Dana di Sabah: 14 pegawai dibebas dengan ikat jamin’ melaporkan seramai 14 pegawai sebuah jabatan kerajaan di Sabah, yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana projek asas bernilai RM3.3 bilion, dibebaskan hari ini (26 Oktober) dengan ikat jamin di antara RM50,000 dan RM200,000 tanpa deposit dengan dua penjamin setiap seorang.

Mereka yang dibebaskan terdiri daripada lima jurutera bahagian, tiga jurutera daerah dan masing-masing seorang juruteknik dan pegawai kerja air yang dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut, Khairuddin turut mempersoalkan berkenaan status siasatan skandal rasuah tersebut sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada SPRM.

“Bukan kami sahaja, saya percaya rakyat Malaysia khususnya masyarakat Sabah juga tertanya-tanya apakah hasil siasatan melibatkan skandal peruntukan RM 3.3 billion tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda Pakatan Harapan Sabah turut menggesa bidang kuasa SPRM diperluaskan dengan tidak hanya mempunyai kuasa menjalankan siasatan bahkan turut boleh mendakwa mana-mana individu terlibat.

“Kami turut menyatakan, keperluan bidang kuasa SPRM perlu diperluaskan. Tidak hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat, sebaliknya mempunyai kuasa untuk pendakwaan,” tambahnya lagi.

Jelas Khairuddin, hal ini penting bagi memberikan kebebasan kepada SPRM menjalankan siasatan tanpa ada campur tangan pihak-pihak berkepentingan dalam SPRM.

Khairuddin turut menyarankan SPRM tampil memberikan jawapan bertulis atau mengadakan sidang media untuk menjelaskan status siasatan tersebut.

“Rakyat Sabah menantikan pengakhiran yang adil dan saksama daripada penguasa undang-undang. Dengan nilai sebanyak RM 3.3 billion, rakyat Sabah berhak menikmati bekalan air yang lebih bersih, mempunyai selenggaraan yang efektif dan sentiasa mencukupi”, tegasnya lagi.

Surat mereka telah diterima oleh dua orang pegawai SPRM Sabah bertugas iaitu Samsul dan Christopher dan menurut mereka surat itu akan diajukan kepada SPRM Putrajaya kerana kes ini dikendalikan oleh Pegawai daripada SPRM Putrajaya.

■ Wartawan Siti Hazar & Asraf Sharafi | 24 Disember 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *