Jangan ulangi kesilapan PRU13, Umum calon PM perlu bagi Pakatan Harapan

Pakatan Harapan mesti membuat keputusan mengenai pilihan gabungan itu sebagai Perdana Menteri jika mereka memenangi pilihan raya bagi mengelakkan perebutan kuasa, kata Pengarah Komunikasi, Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad.

Tambahan pula, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, perkara berkenaan mempunyai kepentingan orang ramai.

“Ini lebih-lebih lagi bagi memastikan gabungan itu bertahan selepas pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berkata Pakatan Harapan harus menghentikan cakap-cakap mengenai calon Perdana Menteri, dan sebaliknya, menumpukan kepada isu-isu lain.

Khalid bagaimanapun berpendapat, kedua-dua isu itu adalah penting, termasuk merangka dasar-dasar awam Harapan yang harus dipatuhi oleh calon perdana menteri itu jika blok pembangkang berjaya ambil alih kuasa peringkat Persekutuan.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, kegagalan membuat keputusan mengenai calon berkenaan akan mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat, yang tidak mampu berbuat demikian pada PRU13 lalu.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran supaya perkara itu ditangani dengan cara yang betul untuk mengelakkan wujudnya gambaran bahawa Pakatan Harapan dan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak sepakat.

“Kali ini, kita mesti berani untuk menamakan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri.

“Apa yang Rafizi kata adalah benar, jangan buang masa, kita mesti tegas dalam membuat keputusan dan apa yang lebih penting ialah kita mesti membina keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan dan PPBM,” katanya.

Selain daripada keputusan mengenai siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri, Salahuddin berkata adalah juga penting untuk mereka tampil dengan logo dan manifesto bersama untuk meningkatkan keyakinan orang ramai.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan mengenai kepentingan kabinet bayangan.

“Adalah penting untuk memahami bahawa kabinet bayangan di United Kingdom dan negara-negara lain di dunia diberi banyak pengiktirafan, kredibiliti dan mendapat perhatian berbanding dengan apa yang berlaku di Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di stesen MRT Sungai Buloh.

Bagaimanapun, beliau berkata kenyataan dan kebimbangan Rafizi ada asasnya.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan setiausaha penganjur parti itu, Anthony Loke enggan mengulas ketika dihubungi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *