ANAK gesa KWSP umum jumlah kerugian ditanggung dalam saham FGV

JOHOR BHARU: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini menggesa KWSP mengumumkan berapakah kerugian yang ditanggung daripada pegangan mereka dalam saham FGV, tegas Pengerusinya, Mazlan Aliman.

Meskipun, katanya KWSP, dalam kenyataan baru-baru ini telah melupuskan pegangan mereka, tetapi pegangan KWSP yang besar iaitu sekitar 7 peratus sejak 2013, membawa nilai kerugian yang banyak.

Menurut beliau, ANAK juga mendesak pelabur institusi lain seperti KWAP, Tabung Haji, Felda Asset Holding Company Sdn Bhd, Felda Badan Berkanun dan Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan status pegangan saham mereka dalam FGV.

“Adakah masih ada dan nilai kerugian yang di alami,” tanya beliau ketika dihubungi Amanahdaily.

Mazlan berkata, Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mencarum RM800 juta dalam FGV, ibarat sudah jatuh di timpa tangga ekoran ekuiti 51 peratus milik mereka dalam Felda Holding telah diambilalih oleh FGV dengan nilai RM2.2 bilion.

Sejumlah RM800 juta dari RM 2.2 bilion tersebut di jadikan pegangan saham dalam FGV dan ia alami kerugian teruk, ujar beliau lagi.

Oleh kerana para peneroka, kakitangan Felda dan sebahagian besar rakyat terlibat secara langsung sebagai pencarum/pendeposit dalam KWSP, KWAP dan Tabung Haji, tegas Mazlan, ANAK sekali lagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja menyiasat secara terperinci skandal terbesar membabitkan Felda dan FGV ini.

Beliau berkata, ANAK difahamkan kerugian semasa yang di alami Dana Awam dab pelabur institusi ini dalam FGV mencecah RM5 bilion.

“ANAK amat bimbang mengenai masa depan institusi kebanggaan Bumiputera seperti Felda, jika Plan Menyelamat tidak dilakukan segera,” tegas Mazlan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *