AMANAH nafi pertahan Abdul Hadi, tidak wajar hadiri muktamar di Tehran

KUALA LUMPUR: AMANAH menyifatkan kehadiran Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ke Muktamar Perpaduan Ummah di Tehran baru-baru ini dan beramah mesra dengan pimpinan Iran di waktu rakyat Syria khususnya di Aleppo dibunuh merupakan satu tindakan yang tidak wajar.

Menegaskan perkara ini, Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad berkata, sebuah portal berita telah meletakkan tajuk beritanya “AMANAH pertahan lawatan Hadi ke Iran” yang cuba menggambarkan seolah-olah AMANAH menyokong kunjungan Abdul Hadi itu.

Abdul Hadi Awang menghadiri Muktamar Perpaduan Ummah di Tehran dan dianggap tidak wajar ketika umat Islam di Aleppo sedang dibom.

“Namun apabila isi kandungan berita tersebut dibaca, tiada terdapat walaupun satu ayat yang menyatakan sokongan terhadap lawatan tersebut,” ujar beliau dalam satu kenyataannnya kepada media.

Katanya, dalam laporan berita itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, sekadar menceritakan latar belakang program tersebut, yang merupakan program tahunan sempena Maulidur Rasul dan Abdul Hadi telah hadir hampir setiap tahun sejak ianya dimulakan 30 tahun dahulu.

Dalam laporan berita itu juga, katanya, apabila Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang ditanya pandangannya mengenai kehadiran Abdul Hadi pada program tersebut, beliau hanya menjawab “itu hak dia”.

Khalid mendakwa, Presiden dan Penasihat Umum AMANAH sengaja tidak mahu menjawab dengan lebih lanjut namun, jawapan yang diberikan mereka bukan satu pembelaan atau sokongan terhadap lawatan Abdul Hadi.

“Ianya sekadar jawapan ringkas kerana tidak mahu dilihat ‘mengambil kesempatan’ mengkritik tindakan Presiden Pas itu demi keuntungan politik,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Menurut beliau lagi, memadai untuk dijelaskan bahawa Ustaz Ahmad Awang dan Timbalan Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin telah juga menerima jemputan yang sama untuk hadir ke program Muktamar Perpaduan Ummah tersebut, tetapi kedua-dua mereka bagaimanapun tidak hadir.

Khalid berharapkan dengan penjelasan ini, ia dapat menjawab segala kekeliruan terhadap pendirian AMANAH berhubung kehadiran di program Muktamar Perpaduan Ummah di Tehran itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *