Jamal & geng rai Ratu Naga dengan simbahan air cat, telur, tepung, air najis

Niat seorang ahli PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah untuk membantu pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengadu tidak mandi selama empat hari kerana gangguan bekalan air bertukar menjadi pengalaman ngeri.

Syarul Ema atau lebih dikenali dengan nama Ratu Naga mendakwa dirinya diserang dengan dibaling enam papan telur, air cat dan juga tepung.

“Kira-kira jam 10.15 pagi saya sampai di kawasan rumah Jamal. Bila tiba di sana, kereta saya ditahan kira-kira 30 orang dan diketuai oleh Jamal, mereka sekat jalan.

“Saya seorang turun dari kereta, dia kata dah lama nak jumpa saya. Bila saya cakap nak hantar air, dia kata kau memang bodoh…

“Tiba-tiba ada seorang pengikut Jamal baling air bercampur cat ke arah saya, kemudian orang tu lari, sebelum mula baling telur dan saya kemudian bergelut dengan (kira-kira) 30 pengikut Jamal.

“Ketika itu Jamal sudah lari,” katanya pada satu sidang media di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini sambil menambah beliau akan membuat laporan polis kemudian nanti.

Semalam (21 Disember) Jamal hanya bertuala dan hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk tumpang mandi di pejabat menteri besar Selangor.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar turut membawa gayung, berus gigi dan sabun sebagai protes terhadap kerajaan negeri yang didakwanya gagal mengurus masalah air di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ratu Naga berkata kehadirannya bersama NGO Sinar Ehsan yang sudah lama disertainya hanyalah ingin menghulurkan bantuan kepada Jamal.

“Semalam saya dah beritahu terang-terangan yang saya nak hantar bantuan air dekat Jamal. Jadi saya pergi ke rumah Jamal di Ampang tujuan nak hantar air.

“Kami simpati dengan Jamal kerana satu Ampang mandi kecuali dia seorang, kita hantar air dengan harapan dia boleh mandi,” katanya.

Ratu Naga berkata, selepas diserang oleh sekumpulan lelaki itu, beliau diselamatkan oleh suaminya, Ezad Zainal yang pada awalnya menunggu dari dalam kereta.

Ratu Naga turut melahirkan rasa kesalnya bagaimana 30 orang lelaki tergamak menyerangnya, lapor Malaysiakini.

“Saya masih terkejut. Saya tak sangka saya seorang perempuan perlu 30 orang lelaki untuk bertumbuk dengan saya semata-mata nak tolak bantuan.

“Saya seorang perempuan pun dia takut. Saya hantar air nak bagi Jamal mandi, selepas tu dia mandikan saya dengan air yang dia ada,” katanya dengan kesal.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Jamal.

Sementara itu, Jamal dilaporkan mendakwa kedatangan Ratu Naga ke rumahnya sebagai satu penghinaan.

Portal Sinar Harian memetiknya berkata, wanita itu hanya membawa sebotol air yang bertujuan untuk memandikannya.

“Sudah lima hari air tiada di rumah saya, jadi apa yang mereka bawa dengan sebotol air hanya nak mengejek-ejek saya, saya tahu apa yang mereka lakukan ini kerana tindak balas tentang mesej saya berikan semalam.

“Saya minta dia balik tapi tak mahu balik sebab itulah dia dimandikan dengan air longkang dan air najis baru dia balik.

“Dia nak sangat merasa air longkang dan air kumbahan jadi dia kena hadaplah benda ini, kerana perbuatan beliau untuk mengejek membawa padah,” katanya kepada akhbar itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *